KERANA minatnya didapur dan gemar memasak ibunya, Hajjah Leni Len dengan tidak sengaja telah mencipta resepi pes untuk kegunaan masakan kari atau beberapa pes lainnya.
Menurut cerita anaknya, Khairah Morshidi, 33 tahun, atas desakan kawan-kawan ibunyalah, ibu terpaksa membuat pes-pes ini dan berjaya menghasilkan resepi yang mendapat sambutan baik dari kawan-kawannya, sehingga mencetuskan idea untuk meneruskan usaha tersebut.
Bermula dari menghasilkan pes tersebut di rumah seterusnya mampu membuka sebuah kedai di Parkcity Bintulu.
Kisah ini bermula ketika mereka masih berada di Bintulu mengikut ayahnya yang bekerja di Bintulu Port Sdn Bhd ketika itu.
Usaha ibunya tidak terhenti disitu malah usaha mereka berterusan sehingga berjaya membuka sebuah kedai khusus menghasilkan pes atas bantuan Jabatan Pertanian melalui pelbagai Latihan dan geran disediakan oleh jabatan tersebut sehingga berjaya membuka satu pusat pengedaran yang pertama mereka di ParkCity Bintulu.
PERLUAS PASARAN PES
Menurut Khairah, atas nasihat Pengarah Jabatan Pertanian Negeri sekiranya ingin memperluaskan pasaran pes ini, mereka perlu berhijrah ke Kuching dan membuka kilang dibawah syarikat LeniSpice Sdn.Bhd.
Menerusi sokongan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) mereka berjaya memulakan operasi kilang mereka yang bertempat di Kawasan perindustrian Bako di Kuching.
Ketika ini dengan pekerja seramai lima orang, yang terdiri daripada penduduk Kpg Bako yang berdekatan, yang mana terletaknya kilang itu telah beroperasi sejak lebih 10 tahun yang lalu.
Syarikat juga telah berjaya membuka bilik pameran dan pasarannya di UCT Kuching dan pejabat Pengurusannya yang teletak di Bridge City di Jalan Bako.
Setakat ini syarikat tersebut telah berjaya menghasilkan lapan produk pes beku sepeti pes masak hitam, pes rendang, pes kari ayam, perencah sup, pes masak merah.
Pes masak kicap, pes masak kurma, pes kari ikan, sambal nasi lemak, pes kuah sate, pes mee goreng, pes nasi briyani, pes nasi minyak.
MULAKAN OPERASI KILANG
Hanya dua produk ini tidak disejukbekukan iaitu pes laksa Sarawak dan sambal udang. Syarikat juga mengeluarkan produk berasaskan lada seperti lada hitam dan lada putih yang dikisar.
Menurut Khairah, sejak memulakan operasi kilangnya di Kuching mereka telah berjaya memasarkan produk mereka hingga ke seluruh Sarawak, Brunei dan Sabah dengan jenama Leni’s.
Mengenai pensijilan halal, Khairah memberitahu bahawa syarikatnya telah memperolehi sijil tersebut sejak mula beroperasi di Bintulu lagi lebih 10 tahun yang lalu.
Khairah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perniagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Kampus Gombak dan berasal dari Belawai, Tanjung Manis itu melahirkan rasa gembiranya kerana telah diberi kepercayaan oleh ayahnya untuk menguruskan syarikat tersebut.
Beliau yang tidak pernah bekerja selain dari bekerja untuk syarikat yang ditubuh oleh ayahnya sejak ayahnya bersara dari BPSB.
Kini ayahnya, Haji Morshidi Moris telah dilantik sebagai Pemanca di Belawai dan menyerahkan tanggungjawab mengurus syarikat itu sepenuhnya ditangan Khairah dan kakaknya.
GALAS CABARAN
Dalam menggalas cabaran ini, Khairah sentiasa memfokus kepada kualiti produk syarikatnya bagi memastikan penghasilan produknya yang bermutu tinggi bukan sahaja dari aspek pembungkusannya malah penghasilan produk itu sendiri.
“Sekiranya terdapat masalah kepada pengeluaran produk kami, ayah dan ibu akan terpaksa turun ke Kuching untuk menyelesaikan semua masalah produk tersebut sekiranya terdapat kecacatan dalam penghasilannya,” jelas Khaairah lagi ketika ditemui dipejabatnya di City Bridge baru-baru ini.
LeniSpice Sdn.Bhd juga pernah menyertai misi dagangan luar ke China dua kali iaitu masing-masing pada 2015 dan 2018. Kedua-dua program tersebut dianjurkan oleh MATRADE, telah disertai oleh Khairah sendiri yang mewakili syarikatnya.
Ketika ditanya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang telah diisytiharkan pada 2020 lalu, beliau memberitahu bahawa setakat ini pengeluaran syarikatnya tidak banyak terjejas, kecuali ketika ini produknya masih belum dapat memasuki Sabah dan Brunei akibat sekatan larangan kemasukan produk import ke negeri tersebut.
Produk-produk keluaran LenisSpice kini boleh didapati dari pasar raya utama di seluruh Sarawak.
Oleh ABG ZAINOREN JESS