
MATU: Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh hari ini meninjau sendiri keadaan banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah ini bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi semasa di lapangan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) Sarawak berkata lawatan tersebut turut disertai ketua-ketua jabatan serta wakil ketua jabatan berkaitan sebagai langkah pemantauan dan penyelarasan tindakan lanjut.
Menurutnya, sesi taklimat berhubung tahap dan situasi banjir telah diadakan di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) sebelum rombongan bergerak ke lokasi terjejas.


“Selepas sesi taklimat, Datu Residen telah turun padang untuk melihat sendiri kawasan yang terjejas akibat banjir di sekitar Daerah Matu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro terlibat dalam pemantauan dan kesiapsiagaan operasi, termasuk memastikan aspek keselamatan penduduk sentiasa diberi perhatian.
Setakat ini, katanya, pihak berkuasa berkaitan terus memantau keadaan banjir dari semasa ke semasa dan bersedia mengambil tindakan susulan sekiranya situasi bertambah buruk.
Oleh Tarani Lanting