
DATUK Amar Douglas Uggah Embas pada majlis pecah tanah projek pembinaan Replika Kubu Rentap di Bukit Sadok, semalam. Foto: Pejabat Timbalan Premier Sarawak
BETONG: Pembinaan Replika Kubu Rentap di Bukit Sadok di sini dijangka muncul sebagai tarikan pelancongan baharu utama di Bahagian Betong, sekali gus merancakkan ekonomi setempat serta memperkukuh pemeliharaan warisan sejarah Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata projek bernilai RM16 juta itu, bersama pembinaan jalan akses berjumlah RM38 juta, merupakan inisiatif strategik untuk membuka potensi Bukit Sadok sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi.
Menurut beliau, lokasi bersejarah di Bukit Sadok itu berpotensi diakses melalui darat dari Sibu, Sri Aman dan Kuching, selain melalui udara apabila projek pembinaan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling siap kelak.
Beliau menegaskan projek berkenaan bukan sahaja mengangkat semula nilai sejarah perjuangan pahlawan Iban, Rentap, malah dijangka memberi limpahan manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan.


“Apabila siap kelak, Replika Kubu Rentap ini akan menjadi satu tarikan pelancongan utama di Betong dan menambah sumber pendapatan kepada penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek berkenaan, semalam.
Bagi Fasa 1, projek tersebut merangkumi pembinaan 10 unit chalet lengkap dengan pantri dan bilik air, selain kemudahan tradisional seperti tanju, panggau, ruai dan tempuan serta sebuah pusat informasi pelawat.
Uggah berkata pembangunan itu turut dijangka memberi manfaat kepada kerajaan melalui peningkatan hasil pelancongan, di samping merangsang pertumbuhan industri berkaitan seperti pengusaha pelancongan, hotel, restoran dan perkhidmatan pengangkutan.


Tambah beliau, projek tersebut mampu memperkukuh usaha pemuliharaan warisan budaya dan sejarah tempatan melalui peningkatan kesedaran awam terhadap kepentingan Bukit Sadok dalam sejarah masyarakat Dayak di Sarawak.
Pada masa sama, pembangunan pelancongan yang dirancang secara mampan juga diyakini dapat menyokong agenda pemeliharaan alam sekitar serta memperluas jaringan hubungan budaya antara penduduk tempatan dan pelawat luar.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, Penasihat Penyelidikan Sains Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Setiausaha Majlis Daerah Betong Lister Clement Guwie dan Temenggong Richard Mulok.
Oleh Adi Safarman