
PAKISTAN: Mangsa yang dibebaskan dari tawanan dalam kejadian serangan di sebuah kereta api di barat daya Pakistan berkongsi kisah dengan mereka berjalan berjam-jam merentasi kawasan pergunungan untuk menuju ke tempat selamat dan terpaksa meninggalkan sanak saudara yang terpisah dari mereka.
Ia susulan militan yang memperjuangkan kemerdekaan dari negara Pakistan meletupkan bahan letupan di landasan kereta api di kawasan terpencil di Balochistan, menyebabkan kereta api berhenti dan menawan lebih daripada 450 penumpang sebagai tebusan.
Mangsa, Muhammad Bilal, berkata dia tidak dapat menggambarkan perasaannya selepas berjaya melarikan diri.
“Keadaan sangat menakutkan. Saya dalam perjalanan bersama ibu menaiki kereta api Jafar Express ketika terperangkap dalam kejadian berbalas letupan.
“Saya mendengar letupan diikuti dengan tembakan ketika militan menaiki kereta api,” katanya semalam.
Penumpang kereta api, Allahditta, 49, berkata stesen kereta api di Mach itu berubah menjadi hospital sementara untuk merawat mangsa yang cedera.
“Orang ramai mula bersembunyi di bawah tempat duduk dengan panik.
“Militan memisahkan lelaki dan wanita, tetapi mereka membenarkan saya dan keluarga pergi kerana memberitahu mereka saya seorang pesakit jantung.
“Kami berjalan agak lama melalui pergunungan untuk sampai ke stesen terdekat.
“Saya belum makan sejak mula berpuasa pagi tadi, tetapi saya masih tidak mampu untuk makan,” katanya.
Menurut seorang pegawai, tiga orang maut manakala lebih 100 tebusan dibebaskan daripada kereta api yang masih ditahan oleh pasukan pemberontak.
Seorang penumpang menggambarkan lelaki bersenjata menyusun kad pengenalan untuk mengesahkan siapa yang berasal dari luar wilayah itu, sama seperti serangan baru-baru ini yang dilakukan oleh Tentera Pembebasan Baloch (BLA), yang mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu.
“Mereka datang dan memeriksa kad pengenalan dan kad perkhidmatan serta menembak dua askar di hadapan saya dan membawa empat lagi ke mana, saya tidak tahu ke mana,” kata seorang penumpang yang enggan namanya didedahkan, selepas berjalan empat jam ke stesen kereta api terdekat.
Sementara itu, mangsa yang terselamat berjalan melalui kawasan berbukit ke stesen kereta api terdekat dan pergi ke Mach, kira-kira 200 kilometer dari sempadan Iran.
Kereta api pertama yang membawa mangsa terselamat tiba lewat petang semalam dan disambut oleh pasukan separa tentera dan doktor.-AFP