KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk membenarkan pergerakan antara zon di Sarawak tanpa perlu memohon permit daripada polis berkuatkuasa 15 Ogos 2020.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata JPBN telah meneliti isu semasa kes positif Covid-19 di Sarawak yang melibatkan perbincangan serta mendapat pandangan daripada sudut kesihatan dan ekonomi daripada KKM dan industri pelancongan.
“Selepas mengambil kira daripada perkara tersebut, JPBN dengan ini membenarkan pergerakan antara zon di Sarawak tanpa perlu memohon permit daripada polis berkuatkuasa 15 Ogos 2020,” katanya pada sidang media laporan harian Covid-19 di Sarawak di sini semalam.
Beliau yang juga Pengerusi JPBNS berkata, bagi meningkatkan pengesanan kontak dan penguatkuasaan, semua premis perniagaan diwajibkan untuk merekodkan butiran peribadi mereka yang masuk ke premis tersebut.
“Butiran termasuk nama dan nombor telefon atau menggunakan aplikasi (MySejahtera/ QMunity/COVIDTrace),” kata Uggah.
Ditanya pemberita mengenai pelbagai aplikasi untuk merekodkan butiran peribadi sebelum memasuki premis, Uggah berkata kesemua aplikasi tersebut mempunyai tujuan yang sama.
“Ia adalah untuk memantau lokasi yang anda pergi, dan kalau ada keperluan untuk mendapati siapa berada di satu tempat, kalau ada insiden, ia akan menyenangkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS),” kata Uggah.
Uggah berkata dengan adanya tiga aplikasi tersebut di Sarawak, orang awam mempunyai pilihan untuk menggunakan aplikasi yang disenangi.
“Aplikasi QMunity kini dikembangkan ke kawasan lain manakala aplikasi MySejahtera mempunyai liputan yang lebih luas di negeri ini,” jelas Uggah.
Oleh Alexandra Lorna