KUCHING: Kajian geofizik mengenai rembesan bawah tanah air panas dan ciri hidrogeokimia di kawasan air panas Kampung Annah Rais dekat sini perlu diteliti.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Willie Mongin meminta nasihat dan perkhidmatan geologi dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia, Sarawak untuk meneliti kawasan air panas Kampung Annah Rais dan mengkaji geofizik mengenai rembesan bawah tanah air panas dan ciri hidrogeokimianya.
“Dengan adanya kajian ini, zon mata air panas dapat digambarkan dengan lebih baik untuk membantu melestarikan produk pelancongan di Parlimen Puncak Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju di pejabat kementeriannya di Putrajaya, Khamis Lalu.
Selain daripada itu, beliau juga memohon supaya kajian Kerentanan dan ujian tanah di jajaran Jalan Puncak Borneo, jajaran Jalan Padawan, jajaran Jalan Link Padawan dan jajaran Jalan Semedang-Dahan Estate.
“Ini adalah untuk mengenal pasti struktur tanah yang sering berlaku kejadian tanah runtuh.
“Dengan adanya laporan kajian ini, kawasan kerentanan kawasan tanah runtuh berisiko dapat dikenalpasti dan kita juga dapat melakukan tebatan bagi mengelak gejala tanah runtuh berulang.
“Ini juga penting demi keselamatan pengguna jalan di jajaran kawasan Parlimen Puncak Borneo,” ujar Willie.