MUKAH: Seorang remaja lelaki warga asing berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Mukah hari ini atas pertuduhan memiliki dadah dan memasukkan dadah ke dalam badan secara salah.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai itu dihadapkan di hadapan Majistret Oon Kork Chern.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berhubung pertuduhan tersebut.
Menurut beliau, tertuduh ditahan dalam satu serbuan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah di sebuah bilik sewa pekerja di Jalan Orang Kaya Setiaraja, kira-kira 2.30 petang semalam.
Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi serbuan menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 0.56 gram.
“Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan dan siasatan lanjut manakala ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah tanpa kebenaran yang sah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah secara salah.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Nazri Harissman Daee memohon tarikh baharu untuk sebutan lanjut sementara menunggu laporan kimia bagi barang kes disiapkan.
Majistret membenarkan permohonan itu dan menetapkan 9 November 2026 sebagai tarikh sebutan lanjut.
Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan akan ditahan di Penjara Sibu sementara menunggu tarikh sebutan semula kes.
Muhamad Rizal berkata, IPD Mukah komited membanteras segala aktiviti penyalahgunaan dadah dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi talian hotline 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.





