
PADAWAN: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari kediamannya di Kampung Karu, Jalan Padawan, di sini awal pagi 14 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, Balai Polis Siburan menerima laporan berhubung kehilangan remaja terbabit semalam pada sekitar 11.17 malam.
Menurut beliau, remaja berkenaan dikenali sebagai Novia Voon, berbangsa Cina dan kali terakhir dilihat memakai baju berwarna hitam.
“Tarikh dan masa mangsa dilaporkan hilang adalah pada 14 Februari 2026 sekitar 1.30 pagi di Kampung Karu, Jalan Padawan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Padawan, Sarjan Wan Muhammad Mazlan di talian 019-4619994,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.