
SYDNEY: Seorang remaja maut dan dua lagi dibawa ke hospital selepas sebuah kereta merempuh sebatang pokok di timur laut Sydney pada malam Jumaat, lapor Xinhua.
Kenyataan polis pada Sabtu memaklumkan perkhidmatan kecemasan dipanggil susulan laporan mengenai kemalangan berhampiran bandar pantai Crescent Head, 340 kilometer timur laut Sydney di New South Wales (NSW), Australia, kira-kira 9.20 malam waktu tempatan pada Jumaat.
Paramedik ambulans tiba dan merawat seorang wanita berusia 19 tahun yang merupakan penumpang kenderaan itu, namun dia meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu wanita berusia 18 tahun dan seorang lagi penumpang, gadis berusia 17 tahun, kedua-duanya dibawa ke hospital dalam keadaan serius tetapi stabil.
Pasukan Polis NSW berkata pegawai telah menandakan tempat kejadian dan memulakan siasatan terhadap nahas.
Menurut data terkini, sehingga Khamis, terdapat 62 kematian membabitkan insiden di jalan raya NSW pada 2026, meningkat daripada 44 kematian dalam tempoh sama pada 2025. – Bernama-Xinhua