BOGOTA: Seorang penunjuk perasaan remaja maut dalam tunjuk perasaan di Colombia yang menyaksikan mahkamad dibakar pada Rabu lalu, kata polis, ketika negara itu menghampiri satu bulan mobilisasi anti-pemerintah yang telah meragut puluhan nyawa.
Pelajar universiti berusia 18 tahun itu maut akibat luka tembakan yang dialami semasa tunjuk perasaan pada lewat Selasa lalu di Tulua, barat Colombia.
Ketua Polis Negara, Jorge Vargas mengenal pasti mangsa sebagai Camilo Andres Arango dan mengatakan bahawa dia ditembak ketika perarakan damai terganggu oleh lelaki yang melemparkan batu ke arah polis dan membakar Istana Kehakiman Tulua.
Dua orang awam lain ditembak dan cedera dalam rusuhan yang menyaksikan 18 kedai dirompak termasuk sebuah premis menjual kereta yang mana 60 motosikal dicuri.
Bagaimanapun, polis tidak menyatakan individu yang melepaskan tembakan itu.
Kematian pelajar itu menjadikan 44 orang terbunuh terutamanya orang awam sejak tunjuk perasaan itu bermula pada 28 April lalu yang pada awalnya menentang pembaharuan cukai.
Walaupun proposal itu ditarik dengan cepat, demonstrasi anti-kerajaan terus berlanjutan dalam menghadapi tindakan keras polis yang mengundang kecaman antarabangsa.
Tanpa kepemimpinan pusat atau tuntutan umum, permintaan penunjuk perasaan meliputi bantuan kerajaan dalam menghadapi masalah ekonomi daripada wabak Covid-19 hingga reformasi amalan polis.
Rundingan yang dimulai hampir dua minggu lalu antara kerajaan konservatif Presiden Ivan Duque dan salah satu kumpulan tunjuk perasaan paling menonjol yang dikenali Jawatankuasa Pemogokan Nasional, masih belum membuahkan hasil.
Para penunjuk perasaan mahu Duque mengakui penyalahgunaan tentera, sementara presiden mahu penunjuk perasaan menamatkan sekatan jalan raya yang memutuskan bekalan ke beberapa bandar.
Kerajaan mendakwa bahawa gerila kiri yakni anggota kumpulan pemberontak terakhir Colombia, Tentera Pembebasan Nasional (ELN) serta pejuang Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) yang tidak menandatangani perjanjian damai 2016 telah mendorong demonstrasi untuk mendorong keganasan dan vandalisme. -AFP