KUCHING: Padah menceroboh dan mencuri sebuah telefon pintar milik seorang lelaki berusia 53 tahun pada April lalu di sebuah rumah di Taman Sonia, Batu 9, seorang remaja lelaki diperintahkan bon berkelakuan baik selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman berkenaan selepas pendengaran laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh masuk sebuah rumah di Taman Sonia, Batu 9, sekitar 11.30 pagi pada 27 April lalu.
Jika Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana mencuri sebuah telefon pintar jenama Samsung dan wang tunai berjumlah RM50 dalam kejadian yang sama.
Syarifah memerintahkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama 12 bulan untuk kedua-dua pertuduhan selepas pendengaran laporan sosial hari ini.
Menurut fakta kes, ketika kejadian, pengadu berusia 19 tahun mendapati seorang lelaki tidak dikenali telah menceroboh masuk ke rumahnya dengan niat untuk mencuri manakala salah seorang lagi menunggu di luar rumah.
Pengadu berjaya menangkap tertuduh dan terus menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menceroboh rumah dan mencuri seunit telefon pintar dan wang tunai milik pengadu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Oleh NICKELYSON LAKUN