
MUKAH: Seorang remaja lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes kecurian motosikal di bandar Mukah, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dalat, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, sekitar 10.00 malam, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mukah berdasarkan maklumat dan risikan telah mengesan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang pada 12 November lalu.
Menurutnya, motosikal berkenaan sebelum itu diparkir oleh pengadu di hadapan sebuah bangunan kedai di bandar Mukah sebelum didapati hilang dipercayai dicuri individu tidak dikenali.
“Motosikal itu dikesan berada di hadapan sebuah rumah di Kampung Hilir, Dalat. Ketika pemeriksaan dijalankan, suspek yang disyaki terlibat dalam kes tersebut telah melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sekitar 11.40 malam, pemilik asal motosikal bersama beberapa orang awam berjaya menahan suspek di kawasan Masjid Kampung Teh, Dalat.
“Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis di IPD Dalat. Sekitar 2.00 pagi tadi (6 Disember), sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mukah telah membuat tangkapan semula terhadap suspek di IPD Dalat sebelum dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
“Ujian urin terhadap suspek yang tidak bekerja itu didapati negatif dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” tegasnya.
Oleh Akun Giman