
KOTA PADAWAN: Polis Daerah Padawan merayu orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berhubung kehilangan seorang remaja perempuan, kata Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi.
Beliau berkata, Balai Polis Kota Sentosa telah menerima laporan mengenai kehilangan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, dikenali sebagai Fenny Chong Jia Xin, semalam.
Menurut laporan tersebut, Fenny kali terakhir dilihat di Batu 5, Jalan Semeba, Kuching, sekitar 11.00 malam pada 21 Oktober 2025.
Butiran mengenai pakaian yang dipakainya ketika itu masih belum diketahui.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Fenny diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Wan Muhammad Mazlan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan di talian 019-4619994, Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233, atau balai polis yang berdekatan,” katanya.
Oleh Connie Chieng