
KUCHING: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri dibaham buaya ketika mandi di Sungai Sarawak berhampiran Rantau Panjang, Batu Kawa, petang ini.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.41 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikerahkan ke lokasi.
Komander Operasi, PBK I Chaplin Wan berkata, pasukan tiba di lokasi sekitar 2.55 petang untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Sebelum kejadian, mangsa bersama abang dan adiknya sedang mandi di sungai, manakala ibu mereka berada berhampiran untuk membasuh pakaian.
“Mangsa kemudian mengadu sakit pada kaki sebelum dipercayai ditarik oleh seekor buaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, datuk mangsa yang turut berada di lokasi bertindak mengejar mangsa menggunakan bot, namun mangsa hilang daripada pandangan kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.
Mangsa dilaporkan memakai seluar pendek berwarna hitam dan tidak berbaju ketika kejadian.
Menurutnya, setibanya di lokasi, pihak bomba mendapatkan maklumat daripada saksi sebelum memulakan operasi pencarian di sekitar kawasan sungai berkenaan.
Operasi SAR masih dijalankan dengan kekuatan lapan anggota serta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).
Oleh Norman B