SIMANGGANG: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditemui meninggal dunia di dalam Sungai Kejatau, berhampiran Jambatan Kejatau, Jalan Kejatau, di sini pagi tadi.
Menurut kenyataan media Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.49 pagi sebelum sepasukan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi yang terletak sekitar lapan kilometer dari balai.
Operasi diketuai PBK I Mohamad Fadhli Buyong dengan kekuatan sebuah jentera Bomba dan Penyelamat (Fire Rescue Tender – FRT) jenis Scania serta sebuah Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (Emergency Medical Rescue Service – EMRS).

“Setibanya di lokasi, didapati benar seorang mangsa berada di dalam Sungai Kejatau.
“Komander operasi (PKO) membuat penilaian keadaan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum menarik mangsa ke tebing sungai,” menurut kenyataan itu.
Mangsa kemudiannya berjaya dinaikkan ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Operasi turut melibatkan lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga pegawai KKM.
Oleh Adi Safarman





