
SIBU: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan selepas didapati menunggang motosikal secara melulu dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar Jalan Awang Ramli Amit dan Jalan Bujang Suntong, malam Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, motosikal yang ditunggang remaja terbabit turut disita, manakala siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya.
Operasi yang bermula 10.00 malam hingga 1.30 pagi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.
Sepanjang operasi, 20 lelaki tempatan telah diperiksa dan sebanyak 26 samandikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk pengubahsuaian struktur motosikal, ekzos bising, tiada cermin pandang belakang, brek tidak berfungsi, tiada perlindungan insurans, tiada nombor pendaftaran, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada lesen memandu, nombor plat ‘fancy’, dan nombor plat tidak mengikut spesifikasi,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
ACP Zulkipli turut menasihatkan ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti berbahaya yang melanggar undang-undang jalan raya.
“Polis akan terus mempergiatkan operasi seperti ini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” tambahnya.
Oleh Akun Giman