
SYDNEY: Pasukan penyelamat memuji naluri ‘luar biasa’ seorang remaja 13 tahun yang berenang selama empat jam menempuh perairan bergelora demi mendapatkan bantuan untuk menyelamatkan keluarganya.
Remaja itu berenang sejauh empat kilometer (2.5 batu) kembali ke pantai selepas ibunya dan dua adik-beradiknya diseret ke tengah laut semasa berkayak dan bersukan papan dayung berhampiran bandar pelancongan Quindalup, Western Australia.
Sukarelawan penyelamat marin, Paul Bresland, berkata renangan itu menyelamatkan keluarganya, yang ditemui berpaut pada papan dayung di tengah laut terbuka.
“Dia berenang dua jam pertama dengan jaket keselamatan. Kemudian dia menanggalkannya kerana rasa tidak akan berjaya, dan berenang dua jam berikutnya tanpa jaket,” kata Bresland kepada penyiar nasional ABC.
“Saya fikir, itu memang luar biasa,” tambahnya, menggambarkan usaha remaja itu sebagai “superhuman”.
Inspektor polis James Bradley berkata, tindakan remaja itu “sangat terpuji” dan sukar diberi pujian secukupnya.
“Tekad dan keberaniannya akhirnya menyelamatkan nyawa ibunya dan adik-beradiknya,” katanya kepada ABC. – AFP