SELEPAS Tan Sri Muhiyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ekoran kehilangan sokongan majoriti, maka Dato Seri Ismail Sabri diperkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri ke-9. Sebagai rekod sejarah, tercatat kembali bermulanya UMNO ke arus perdana, selepas tewas dalam pilihan raya umum ke-14 pada tahun 2018. Apabila Pakatan Harapan tumbang sendiri akibat perletakan jawatan mengejut Tun Mahathir Mohamad, kerjasama Ahli Parlimen UMNO dengan Bersatu dan parti-parti lain, termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membentuk kerajaan baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).
Pakatan Harapan tumbang selepas 22 bulan memerintah, manakala Perikatan Nasional hampir tumbang dan bertukar Perdana Menteri selepas 17 bulan memerintah. Sudah pasti menarik untuk dinilai kemampuan Ismail Sabri, sama ada mampu bertahan selama 21 bulan sebelum pilihan raya umum, kira-kira 21 bulan lagi, iaitu pada Jun 2023. Ataupun, kerajaan pimpinan Ismail Ismail hanya mampu bertahan dalam tempoh 6-9 bulan, sekiranya kurang mampu mengawal suhu politik negara.
Personaliti Baru Politik
Nama Ismail Sabri kurang dikenali dalam radar politik UMNO berbanding nama-nama seperti Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Hishamuddin Hussein dan Mohamed Khaled Nordin. Ayah Ismail Sabri berasal dari Kampong Gertak Lembu, Salor di pinggiran Kota Bharu Kelantan, manakala ibunya berasal dari Salor dan mempunyai keturunan dari Patani. Menurut abang Ismail Sabri, Kamarazaman Yaakob, ayah mereka mempunyai dua bas pada tahun 1930-an yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan Salor ke Kota Bharu, namun apabila Jepun datang ke Tanah Melayu, kedua-dua bas dirampas oleh tentera Jepun. Keadaan ini memaksa keluarga Yaakob terpaksa berhijrah ke Lubok Kawah di Temerloh dan menjadi petani.
Apabila darurat diisytiharkan pada 16 Jun 1948, mereka kembali ke Kelantan dan berhijrah semula ke Temerloh sehingga Ismail Sabri lahir di situ. Ismail Sabri mendapat pendidikan hingga lulus ijazah undang-undang Universiti Malaya dan aktif sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya. Beliau mulai menjadi Ahli Parlimen Bera sejak tahun 2004 dan sebelum itu menjadi Setiausaha Politik kepada Sabarudin Chik sejak tahun 1995.
Kerjaya politik beliau melonjak apabila dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan (2008-2009), Menteri Perdagangan Tempatan, Koperasi dan Pengguna (2009-2013), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2013-2015), Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2015-2018), dan apabila pembentukan kerajaan Perikatan Nasional dibentuk, beliau dilantik menjadi menteri kanan dan Menteri Pertahanan (2020-2021). Pada Julai 2021 Ismail Sabri dilantik oleh Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Hieraki Politik Kepartian
Ismail memulakan kerjaya sebagai peguam pada tahun 1987 dan terlibat dengan masyarakat apabila dilantik menjadi Ahli Majlis Daerah Temerloh (1987), dan Ahli Majlis Perbandaran Temerloh (1996). Beliau mulai aktif dalam UMNO apabila dilantik menjadi Setiuasaha politik kepada Sabarudin Chik, Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Pelancongan pada tahun 1995. Sejak itu, beliau dilibatkan dengan pelbagai jawatan, sesuai dengan dokongan parti beliau sertai, termasuklah Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pahang Tenggara (DARA) dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (1995).
Sebagai ahli UMNO, beliau dilantik menjadi ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh (1987), Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Temerloh (1988). Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian (1993), Timbalan Ketua Bahagian (2001), Ketua Bahagian Temerloh (2004). Ismail pula bertanding sebagai wakil rakyat pada pilihan raya umum 2004 di Parlimen Bera, dan sejak itu kekal selama 4 penggal atau sekitar 20 tahun sebagai wakil rakyat Bera. Ketika ini, Ismail Sabri masih menjadi Naib Presiden UMNO sejak tahun 2018 dan pernah menjadi Ketua Pembangkang pada tahun 2019-2020.
Cabaran Ismail Sabri
Ismail Sabri sangat bernasib baik kerana beliau memenangi Naib Presiden parti UMNO ketika beberapa tokoh politik UMNO seperti Hishamuddin Hussein ketika itu menjauhi diri daripada UMNO dan tidak bertanding dalam pemilihan. Ketika itu, UMNO dilihat parti tidak ada masa depan, sukar dipulihkan, bermasalah besar, menerima tekanan daripada parti Bersatu hingga presiden UMNO, Zahid Hamidi diminta oleh Mahathir yang ketika itu sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan, membubarkan UMNO dan kesemua keahlian UMNO diserapkan ke dalam parti Bersatu.
Dalam keadaan lemah tersebut, Ismail Sabri, Mohamed Khaled Nordin, dan Mahadzir Khalid memenangi jawatan Naib Presiden UMNO. Apabila berlakunya langkah Sheraton, Ismail Sabri diangkat sebagai Menteri Kanan oleh Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri ketika itu, Tujuan Muhyiddin mengangkat Ismail Sabri kerana beliau tidak mahu melibatkan Zahid Hamidi, Presiden UMNO dan mantan Perdana Menteri, Najib Tun Razak kembali dalam kerajaan kerana dianggap sebagai pesaing kuat dalam arus politik.
Walaupun mesyuarat UMNO di Janda Baik, Pahang, bersetuju bahawa UMNO dan sesiapa sahaja dilantik oleh Perdana Menteri Muhiyiddin Yassin perlu menolak tawaran pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2020, namun pada Julai 2021 Ismail Sabri menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri lantikan Muhiyiddin Yassin. Kesan daripada itu, berlaku permulaan rekayasa politik apabila MKT UMNO meminta semua Ahli Parlimen menarik diri daripada menyokong PN.
Hal ini bermakna PN tergugat dan kedudukan Perdana Menteri terancam apabila 15 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan dan menyebabkan PN hilang majoriti dan memaksa Perdana Menteri meletak jawatan dan pemilihan Perdana Menteri baharu dilaksanakan.
Strategi UMNO
Di sinilah manipulasi dan rekayasa UMNO berlaku sebagaimana dijanjikan oleh Presiden UMNO, Zahidi Hamidi bahawa UMNO akan kembali menerajui negara dalam tempoh tiga tahun yang dianggap misi mustahil oleh musuh politik mereka. Ternyata rekayasa politik ini dirancang secara halus dalam kerangka minda UMNO dan berjaya dilangsungkan.
Cabaran Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu adalah memastikan kedudukan beliau selamat sebagai Perdana Menteri. Memang terdapat ura-ura untuk beliau mengambil alih jawatan Presiden UMNO daripada Zahid Hamidi. Hal ini dilihat apabila Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang sebelum ini menyatakan keputusan UMNO untuk menangguh pemilihan parti tidak sah dan pemilihan UMNO perlu dilakukan. Apabila Muhyiddin meletak jawatan, pegawai RoS mengakui mereka diberikan tekanan oleh Menteri UMNO dan Timbalan Menteri untuk berbuat demikian.
Namun, apabila Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri dan hadir dalam mesyuarat MKT UMNO, isu ini dibangkitkan dengan beberapa dokumen undang-undang dan peguam membentangkan keabsahan dokumen dan prosedur meminta Perdana Menteri membuat langkah sewajarnya bagi mengelak daripada berlakunya kemarahan akar umbi UMNO di peringkat bawah. Maka tindakan RoS membuat pusingan-U dan kini keputusan menangguhkan pemilihan sebagai sah adalah membuktikan walaupun sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri perlu akur kepada kehendak parti, khususnya beliau bukanlah Presiden atau Timbalan Presiden.
Malah, ketiadaan Mohamad Hasan (Tok Mat) dan Azalina Othman dalam kabinet telah menyebabkan akar umbi UMNO berasa tidak puas hati. Mereka mahukan Tok Mat dilantik sebagai Senator dan memegang jawatan Menteri Kewangan, namun tidak dilakukan oleh Ismail Sabri. Begitu juga suara yang mahukan Azalina dilantik sebagai menteri penuh tidak dilakukan. Hal ini kerana Ismail Sabri tidak mahu kelompok ini semakin kuat berpengaruh dan boleh mengugat kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan mempertahan kedudukannya dalam hieraki parti.
Perkara ini, walaupun dirancang bersifat sementara, namun sebagai ahli politik, sudah pasti Ismail Sabri melakukan sesuatu bagi mengukuhkan kedudukannya dalam kerajaan dan hieraki parti, maka inilah dinamika politik baru era PN 2.0.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).