Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Reka bentuk cip termaju, teknologi digital mampu kekalkan daya saing global Sarawak
  • TEMPATAN

Reka bentuk cip termaju, teknologi digital mampu kekalkan daya saing global Sarawak

Utusan Sarawak 5 hours ago
UCAPAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada sambutan ulang tahun kelima Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) semalam.

KUCHING: Sarawak perlu memperkukuh keupayaan dalam mereka bentuk cip termaju dan teknologi digital bagi mengekalkan daya saing ketika kuasa besar dunia berlumba-lumba menguasai sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata persaingan untuk mendominasi pembuatan cip serta sistem data berasaskan satelit kini membentuk hala tuju ekonomi global, dengan kebanyakan negara meningkatkan pelaburan bagi memastikan penguasaan teknologi masa depan.

“Mereka yang mampu menghasilkan dan menguasai pembangunan cip baharu akan menguasai ekonomi digital,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun kelima Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) di sini semalam.

Beliau berkata perkembangan pesat AI telah meningkatkan permintaan luar biasa terhadap cip berprestasi tinggi bagi memproses set data berskala besar, sekali gus mendorong inovasi bahan baharu seperti gallium nitride (GaN) yang mampu menahan haba tinggi ketika operasi data kompleks dijalankan.

Justeru itu, katanya, penyelidikan oleh Sarawak Microelectronics Design (SMD) terhadap cip berasaskan wafer putih GaN menandakan langkah awal negeri itu membina keupayaan teknologi sendiri bagi menyokong industri AI yang sedang berkembang.

“Silikon tidak lagi mampu menahan haba apabila jutaan data diproses dalam satu cip. Oleh itu, kita bergerak ke arah gallium nitride yang boleh menanggung beban lebih tinggi dan menyokong aplikasi berkuasa AI,” kata Abang Johari.

Beliau berkata penguasaan teknologi satelit juga bakal menentukan hala tuju ekonomi masa depan memandangkan keupayaan teknologi itu mengumpul dan menghantar data dalam jumlah besar, sementara kedudukan geografi Sarawak di kawasan tropika memberi kelebihan strategik untuk pembangunan dan pelancaran satelit.

Ditambah dengan persaingan global yang semakin sengit, Sarawak perlu terus melabur dalam penyelidikan, pembuatan termaju dan infrastruktur digital bagi memperkukuh daya tahan ekonominya, katanya.

“Masa depan kita bergantung pada kemampuan kita menguasai teknologi ini. Dunia bergerak pantas dan kita mesti bersedia,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Pengalaman di Bako diperhalusi, perkasa pengurusan TPIB Bukit Penyauk
Next: Program ESG perkukuh kepimpinan usahawati Sarawak — Nancy

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.