
SARATOK: Regu Kestap A Pusa muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Tertutup dan Jemputan Piala Ketua Zon 3 Sarawak setelah menewaskan pasukan Bomba A Saratok dalam perlawanan akhir yang berlangsung penuh sengit, dekat sini kelmarin.
Kejohanan anjuran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok itu berlangsung selama dua hari dan berjaya menarik penyertaan 16 pasukan dari pelbagai daerah sekitar Zon 3 Bomba Sarawak.


Regu Kestap A Pusa muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Tertutup dan Jemputan Piala Ketua Zon 3 Sarawak dekat sini kelmarin. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kalaka
Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Dalam pada itu, Mohamad Duri berkata penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat dalam sukan tradisi popular itu, malah memperkukuh hubungan silaturahim antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.

“Tahniah diucapkan kepada pasukan Kestap A Pusa atas kejayaan mereka, sementara pasukan lain diseru untuk terus berusaha dan tampil lebih kuat pada edisi akan datang,” katanya.
Turut hadir Pemanca Lim Guan Ann, Ketua BBP Saratok, Putra Ila, serta Ketua BBP Betong, Muhammad Badrulamin Mohamad Fodzi.
Oleh Adi Safarman