

PERSEMBAHAN tarian tradisional pada Malam Pentas Hiburan dan Kebudayaan Regatta Belaga 2025 di Waterfront Belaga, semalam. Foto Pusat Khidmat Masyarakat DUN Murum
BELAGA: Regatta Belaga 2025 bukan sekadar acara sukan air dan hiburan semata-mata, malah menjadi platform penting untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta mengetengahkan kekayaan warisan budaya pelbagai kaum di daerah ini.
Penganjuran Malam Pentas Hiburan dan Kebudayaan yang berlangsung di Waterfront Belaga semalam menyaksikan pelbagai persembahan etnik dan pertandingan tradisional seperti Suwey, Kesut serta tarian Datun Julud kategori senior, sekali gus berjaya menarik perhatian ratusan pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, semangat kebersamaan yang dipamerkan menerusi acara tersebut mencerminkan kekuatan masyarakat berbilang kaum di Belaga dalam meraikan keunikan budaya masing-masing secara harmoni.
Tambahnya, selain mengeratkan perpaduan, program seumpama itu berpotensi memberi impak positif terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar, khususnya dalam sektor pelancongan dan perusahaan kecil.
Regatta Belaga 2025 yang merupakan acara dwitahunan akan terus berlangsung sepanjang minggu dengan pelbagai acara menarik seperti perlumbaan perahu kayuh, bot laju, sukan rakyat dan pementasan kebudayaan.
Oleh Carolyne Utih