
SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menafikan khabar angin yang mendakwa lokasi Regata Lingga akan ditukar dari Sungai Lingga ke tempat lain.
Beliau yang juga salah seorang Penaung Regata Lingga menjelaskan, acara berprestij itu tetap akan dianjurkan di Sungai Lingga pada Disember ini seperti dirancang.
Menurutnya, penjelasan ini dibuat selepas tular mesej tidak sahih di aplikasi WhatsApp mengenai pertukaran lokasi acara tersebut.
“Pihak kami memandang serius penyebaran maklumat palsu ini dan akan mengambil tindakan terhadap individu yang menyebarkannya,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa orang ramai agar hanya merujuk maklumat rasmi daripada Jawatankuasa Regatta Lingga bagi mengelak kekeliruan.
Pada masa sama, tarikh rasmi dan Piala Regatta Lingga akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dayang Noorazah turut menzahirkan penghargaan kepada semua penyokong Regata Sarawak dan Regata Lingga atas sokongan berterusan.
“Semoga penganjuran kali ini berjalan lancar dan mendapat kerjasama semua pihak,” katanya.
Sementara itu, penganjuran Regata Lingga 2025 yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 32 November, telah dipinda ke tarikh baharu iaitu pada 12 hingga 14 Disember tahun ini.
Keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Regatta Lingga Bil. 2/2025 yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Regatta, Frank Lani, di Pejabat Daerah Lingga baru-baru ini.
Regata Lingga 2025 bakal menampilkan 20 acara sukan dan hiburan, selain tiga acara utama membabitkan majlis perasmian, acara kemuncak serta penangguhan temasya.
“Adalah diharapkan penganjuran kali ini dapat berjalan lancar serta mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dan pengunjung. Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelas Dayang Noorazah.
Oleh Adi Safarman