
LINGGA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang menegaskan komitmennya untuk terus memberikan sokongan penuh dalam usaha memartabatkan Regata Lingga sebagai salah satu acara ikonik wilayah ini.
Menurutnya, Regata Lingga bukan sekadar acara sukan air, tetapi satu kebanggaan masyarakat tempatan yang semakin mendapat tempat di hati rakyat serta pelancong dari dalam dan luar negara.
“Penganjuran Regata Lingga selama tiga tahun berturut-turut menunjukkan komitmen tinggi masyarakat dalam mengekalkan warisan budaya sungai yang telah menjadi identiti komuniti kita sejak dahulu lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Regata Lingga Edisi Ke-3 Tahun 2025 yang berlangsung di Tebingan Lingga, hari ini.
Mong berkata, beliau yakin Regata Lingga 2025 akan tampil lebih tersusun, meriah dan berimpak tinggi berbanding edisi sebelumnya, sekali gus mengangkat nama Lingga sebagai destinasi budaya dan pelancongan.
Majlis prapelancaran hari ini turut menandakan bermulanya gerak kerja rasmi seluruh jentera pelaksana, termasuk urusetia, agensi keselamatan, persatuan belia, komuniti setempat, peserta sukan air serta rakan penaja, bagi memastikan kejayaan penganjuran regata selama tiga hari itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa edisi 2025 akan menampilkan beberapa pembaharuan termasuk aspek keselamatan, pengurusan pengunjung, promosi digital serta penglibatan lebih banyak pasukan dari luar daerah. Tahun ini juga menyaksikan penyertaan pasukan dari negara jiran, Brunei Darussalam.
“Ini jelas menunjukkan kesungguhan pihak penganjur untuk memastikan regatta ini bukan sahaja kekal sebagai acara tradisi, tetapi berkembang menjadi produk pelancongan tahunan yang memberi nilai ekonomi kepada peniaga kecil, usahawan tempatan, industri makanan dan warisan budaya,” katanya.
Mong turut menggesa semua pihak, termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat untuk terus berganding bahu dalam menjayakan acara tersebut.
“Kejayaan sesebuah program tidak bergantung pada satu pihak sahaja, tetapi pada kekuatan kerjasama dan perpaduan kita semua,” tegasnya.
Mong turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Induk, agensi kerajaan dan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran Regata Lingga 2025.
“Bagi pihak saya, saya akan terus memberikan sokongan padu kepada usaha memartabatkan Regata Lingga sebagai salah satu acara ikonik wilayah ini.
“Semoga Lingga terus dikenali sebagai destinasi yang kaya dengan budaya, sejarah dan daya tarikan tersendiri,” ujarnya.
Beliau menutup ucapan dengan harapan agar segala perancangan regata tahun ini berjalan lancar dan memberi impak positif, selaras dengan slogan ‘Regata Lingga, Lingga Mansang Maju!’.
Turut hadir, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Oleh Adi Safarman