
LINGGA: Regata Lingga 2025 yang berlangsung di Tebingan Sungai Lingga bermula semalam hingga esok menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM157,520, sekali gus menjadikannya antara kejohanan perahu lumba paling berprestij di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, acara tradisi yang menjadi tumpuan utama, ‘Battle of the Titan’s’, dijangka mencuri perhatian apabila menawarkan hadiah wang tunai RM30,000 kepada juara.
Menurut beliau, bagi edisi 2025, ‘Battle of the Titan’s’ diangkat sebagai acara kemuncak Regata Lingga dengan penyertaan terbuka kepada semua “raja sungai” untuk merebut gelaran ‘King Titan’.
“Acara ini mula diperkenalkan pada 2023 sebagai penutup tirai Regata Lingga bagi menyemarakkan semangat persaingan sihat. Ia mendapat sokongan padu daripada Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, selain pasukan perahu lumba tempatan serta komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Regata Lingga Edisi Ketiga di Tebingan Sungai Lingga, hari ini.
Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Regata Lingga 2025 turut menampilkan pelbagai acara bidar merangkumi kategori lapan, 10, 15 dan 20 pekayuh, selain bidar campuran melibatkan 10 lelaki dan lima wanita, serta kategori 25 dan 30 pekayuh. Acara elit juga dipertandingkan bagi kategori 15, 20 dan 25 pekayuh.
Mengulas lanjut, Dayang Noorazah memaklumkan pasukan antarabangsa dari Brunei Darussalam, PEKIBAR, telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kejohanan kali ini.
“Kehadiran pasukan antarabangsa bukan sahaja menambah kemeriahan saingan, malah membantu mempromosikan Regata Lingga sebagai produk pelancongan berpotensi tinggi yang mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Secara tidak langsung, penganjuran acara ini turut menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk tempatan,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; ADUN Simunjan, Awla Dris; Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh dan Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani.
Oleh Adi Safarman