
PERSEDIAAN… Pelbagai agensi berganding bahu bergotong royong sempena sambutan Regata Baram 2026. Foto Jiku Juguong
MARUDI: Sungai Baram bakal kembali meriah apabila Regata Baram 2026 berlangsung dari 23 hingga 26 Julai ini selepas penganjurannya dibatalkan tahun lalu berikutan banjir besar yang melanda Marudi.
Sepanjang empat hari penganjuran, pelbagai acara sungai dan darat akan diadakan bagi memeriahkan festival tahunan itu, sekali gus dijangka menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Sarawak.
Kemuncak Regata Baram 2026 ialah Majlis Perasmian yang akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Dataran Marudi pada 10.00 pagi, sebelum beliau melakukan simbolik pelancaran festival tersebut.
Regata Baram 2026 turut menampilkan pelbagai acara berteraskan kesenian, kebudayaa dan warisan, sekali gus dijangka menyaksikan Dataran Marudi serta Tebingan Sungai Marudi dibanjiri ratusan pengunjung dan pelancong.
Antara acara yang paling dinanti-nantikan ialah perlumbaan perahu bagi merebut gelaran Raja Sungai Regata Baram 2026 serta pertandingan pemilihan Ratu Regata Baram 2026.
Selain itu, pelbagai aktiviti lain turut diadakan sepanjang festival, termasuk pertandingan Bintang Regata Baram, perlumbaan bot berkuasa tinggi, pertandingan perahu berhias, senamrobik, Konsert Perpaduan serta pertandingan lumba perahu dalam pelbagai kategori.
Sementara itu, bagi memastikan kelancaran penganjuran festival, pelbagai persiapan giat dijalankan oleh Majlis Daerah Marudi (MDM) dengan kerjasama Pejabat Daerah Marudi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) serta Ahli Majlis MDM menerusi program gotong-royong yang diadakan hari ini.
Antara lokasi yang diberi tumpuan dalam operasi pembersihan ialah Fort Hose, Tebingan Sungai Marudi, kawasan Tokong Tua Pek Kong serta beberapa lokasi lain di sekitar pekan Marudi.
Pengerusi Majlis Daerah Marudi, Kaunselor Edward Mendai, merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan bagi memastikan kawasan penganjuran berada dalam keadaan bersih dan selesa sempena Regata Baram 2026.
Oleh Jiku Juguong





