
MARUDI: Regata Baram 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 21 September 2025 telah diputuskan untuk ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, atau kemungkinan besar akan ditunda ke tahun hadapan.
Selepas perbincangan antara Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Penuang Manggil, bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek), Datuk Gerawat Gala, serta SUSK Premier Sarawak, Regata Baram 2025 diputuskan untuk ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Penundaan ini dibuat berikutan keadaan banjir di Baram, termasuk di Marudi, yang semakin membimbangkan.
Dalam perkembangan lain, tinjauan Utusan Sarawak mendapati paras air banjir di Marudi semakin meningkat. Beberapa kampung sekitar Marudi seperti Kampung Narum, Kampung Dagang, Kampung Ridan, Kampung Cina, dan kawasan sekitarnya ditenggelami air sehingga mencapai paras yang membimbangkan, susulan limpahan air dari bahagian ulu Baram akibat hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Oleh Jiku Juguong