
SIMANGGANG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan wujudnya trend baharu dalam landskap sukan dan budaya di setiap daerah negeri ini apabila acara regata atau lumba perahu semakin mendapat tempat di negeri ini sejak tiga tahun lalu.
Beliau berkata, penganjuran regata kini bukan hanya tertumpu di bandar besar, malah diperluaskan ke daerah-daerah lain seterusnya yang terakhir penganjurannya di Regata Sarawak.
“Setiap kali kita menerima permohonan untuk menganjurkan regata, kita tahu kosnya tinggi. Sebab itu kita fikirkan untuk mewujudkan satu ‘Regata Circuit’ di mana lokasi penganjuran akan disokong menerusi pendekatan baharu,” katanya semasa berucap merasmikan Pesta Benak 2025 Edisi ke-22 di Pentas Utama Tebingan Sri Aman, hari ini.

Menurut Abang Johari, regata telah menjadi platform mengeratkan silaturahim antara masyarakat berbilang kaum dan agama, selain merancakkan aktiviti ekonomi setempat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sehubungan itu, katanya belanjawan negeri akan disusun semula dengan memberi suntikan ekonomi khusus bagi menyokong ‘Regata Circuit’ sebagai acara unik Sarawak.
“Fenomena ini tidak wujud di tempat lain di Malaysia. Ia hanya ada di Sarawak dan kerajaan mengambil kira manfaat ekonomi serta sosialnya,” ujarnya.
Mengulas keunikan Bandar Simanggang, Abang Johari menekankan fenomena benak yang hanya terdapat di Batang Lupar sebagai tarikan pelancongan istimewa negeri ini.
Selain itu, pembangunan infrastruktur mega seperti Jambatan Batang Lupar 2 yang mempunyai tiang kabel tertinggi di Malaysia turut menjadi ikon baharu Sri Aman.
“Jambatan ini bukan murah, ia adalah suntikan besar kerajaan untuk menaik taraf infrastruktur Sri Aman. Ia akan menghubungkan Tanjung Bijat, Lingga hingga ke Sebuyau, sekali gus dengan pembinaan jaringan jalan raya juga memendekkan masa perjalanan ke Betong kepada hanya 30 minit dari Bandar Simanggang,” jelasnya.
Jaringan jalan raya yang semakin baik, tambah beliau kawasan baharu dapat dibuka untuk pertanian dan pembangunan ekonomi.

Di bawah koordinasi Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA), Premier Sarawak menegaskan perubahan minda masyarakat adalah kunci utama bagi memastikan pembangunan berterusan.
“Bandar Simanggang ada pelan jangka panjang. Kita mahu menstruktur semula dan menaik taraf prasarana supaya ia mampu bersaing dengan bandar-bandar lain di Sarawak,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan menyeluruh Sri Aman yang dikaitkan dengan Betong dan Samarahan akan memberi limpahan ekonomi bukan sahaja dalam sektor sosial tetapi juga sektor pertanian.
Turut hadir Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang serta kenamaan-kenamaan lain.
Oleh Adi Safarman