Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim pernah menyatakan bahawa Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 sedang dalam proses penyusunan semula bagi memperkasa dan menempatkan Parlimen sebagai institusi
penggubal undang-undang tertinggi negara. Misalnya, kadar bayaran denda kepada mana-mana pihak yang tidak memberi kerjasama di bawah Parlimen agak rendah dan tidak sesuai lagi dalam konteks nilai pada masa kini. Aspek ini adalah untuk menjaga etika dan tindak tanduk ahli parlimen agar lebih dihormati.
Kod atau etika juga boleh memastikan ahli parlimen daripda bercakap apa-apa sahaja termasuklah memperkecilkan Speaker atau ahli parlimen yang lain. Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang disusun semula juga bagi melaksanakan
konsep pengasingan kuasa. Hal ini kerana sejak akta itu dimansuhkan pada 1992, urusan dan sistem penjawatan bagi kakitangan dan pegawai Parlimen berada di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Perubahan ini menyebabkan konsep pengasingan kuasa dianggap salah kerana bertentangan dengan perlembagaan negara.
Kesannya, jawatan-jawatan di Parlimen ditentuukan oleh JPA yang berada di bawah badan eksekutif dan ini bermakna eksekutif seolah-olah campur tangan dalam menentukan fungsi penjawatan di Parlimen. Maka, pengasingan kuasa diperlukan bagi menentukan aspek kuasa, penentuan kakitangan dan perkhidmatan sendiri. Kesemua cadangan ini telah diperhalusi d peringkat jawatan kuasa dewan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, telah membawa segala ini cadangan ini kepada Pejabat Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) untuk dikemukakan kepada Kabinet.
Persetujuan Jemaah Menteri
Hasil daripada cadangan tersebut maka, baru-baru ini diumumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip dengan tiga perkara dalam cadangan reformasi Parlimen. Ia melibatkan penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) dan draf Kod Etika Ahliahli Parlimen.
Mengenai penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen, Menteri Undang-Undang Datuk Seri Wan Junaidi berkata, ia mengambil kira penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang merupakan sebahagian daripada pengurusan Parlimen yang mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia. Antara yang mendapat perhatian termasuklah cadangan mewujudkan Skim Perkhidmatan Parlimen, serta sumber kewangan dan bajet tahunan yang diperoleh Parlimen daripada Kumpulan Wang Disatukan yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Parlimen sendiri selaras dengan prinsip pengasingan kuasa.
Berdasarkan urutan sejarah Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 telah dimansuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 [Akta A837] berkuat kuasa pada 20 Nov 1993. Dengan kata lain, pemansuhannya yang pada ketika itu adalah bagi memenuhi keperluan ketika itu untuk membuka perkhidmatan Parlimen yang tertutup kepada perkhidmatan awam Persekutuan. Ketika itu, tidak timbul isu bertentangan dengan konsep pengasingan kuasa.
Menteri Undang-Undang juga menjelaskan bahawa pindaan ke atas Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347] dilihat penting supaya akta tersebut lebih relevan dan memberi impak yang sesuai dengan keadaan semasa. Menurutnya, akta itu telah digubal pada 1952 sebagai House of Parliament (Privileges and Powers) Ordinance 1952 dan dipinda pada 1953 sebelum dikuatkuasakan tahun tersebut, manakala pada 1988, satu semakan dibuat untuk menukar Ordinan tersebut menjadi Akta 347 sekarang ini.
Kesinambungan Pembaharuan Parlimen
Bagaimanapun asas kepada pembaharuan parlimen yang perlu diberikan perhatian ialah perlu lebih kerap mengadakan sidang parlimen bagi membincangkan masalah hal-ehwal rakyat dan membahaskan isu-isu negara. Hakikatnya, secara purata Dewan Rakyat hanya bersidang hanya 68 hari setahun manakala Dewan Negara bersidang 26 hari setahun. Sedangkan tugas kedua-dua Dewan ialah membahaskan isu negara dan menggubal undang-undang. Sekiranya dibandingkan dengan negara-negara komanwell yang lain, turut menggunakan sistem yang sama, iaitu sistem Westminster United Kingdom lazimnya tempoh sidang mereka ialah sekitar 160 hari hingga 200 hari setahun. Maka, sesuai dengan penanda aras sistem tersebut, maka reformasi parlimen yang perlu dilaksanakan ialah keperluam meningkatkan jumlah hari bersidang kepada sekitar 120 hari bagi Dewan Rakyat dan 60 hari bagi Dewan Negara. Maka, tidaklah timbul isu sidang diadakan hingga ke lewat petang atau malam apabila berlakunya perbahasan rang undang-undang dilakukan.
Pada sesi sidang 2017 parlimen UK terdapat 349 hari digunakan tempoh sidang manakala pada tahun 2018 pula sebanyak 205 hari digunakan untuk sidang Dewan Rakyat dengan purata 7-8 jam sehari masa digunakan. Pada sesi sidang dewan rakyat UK 2019, sebanyak 1703 jam jumlah masa dimanfaatkan untuk sidang dewan rakyat. Hal ini mencerminkan komitmen penyertaaan dalam reformasi parlimen sebenar. Alangkah baiknya, sekiranya reformasi parlimen berlaku dengan menetapkan bilangan hari minimum dan maksimum dewan bersidang. Begitu juga kehadiran setiap ahli parlimen perlu boleh disemak oleh masyarakat awam atau diumumkan kepada awam agar ahli parlimen agar pengundi mereka lebih peka terhadap wakil rakyat mereka sebagai salah satu petunjuk prestasi.
Seorang senator di Kuala Lumpur memberitahu penulis mereka kadang-kala bersidang 9-14 hari sahaja dan ini bermakna proses perbahasan sangat pendek dan perlu dipanjangkan. Maka idea agar perbahasan Rang Undang-Undang agar dimulakan di Dewan Negara terlebih dahulu dan diberikan masa yang lebih panjang perlulah diberikan perhatian sebagai bahagian daripada reformasi parlimen.
Jawatankuasa Pilihan Khas
Begitu juga pelantikan jawatan-jawatan utama perkhidmatan awam perlu diaktifkan bagi memastikan setiap pelantikan mempunyai wibawa dan integriti bagi mengukuhkan keyakinan rakyat. Misalnya, jawatan-jawatan utama di beberapa institusi strategik negara tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi pelantikan jawatan-aawatan utama dalam perkhidmatan awam. Sesuai dengan semangat zaman yang menuntut adanya unsur-unsur ketelusan, integrity dan kebertanggungjawaban maka aspek ini sangat dituntut untuk dilaksanakan. Jika tidak maka ia boleh menyebabkan pelbagai pandangan dan keraguan terhadap pelantikan tersebut. Perkara ini juga dapat memastikan sesebuah agensi itu bebas daripada pengaruh politik dan benar-benar berwibawa dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang terdiri daripada ahi parlimen kerajaan dan pembangkang akan memperhalusi dan mencadangkan yang terbaik bagi calon paling layak menerajuinya. Sekiranya dilaksanakan, mampu memulihkan kepercayaan terhadap institusi parlimen negara.
Begitu juga bagi memastikan institusi perdana menteri terus terpelihara dan dihormati. Sesuai dengan idea reformasi parlimen maka Parlimen wajar melakukan pindaan terhadap Perintah Tetap agar keabsahan Perdana Menteri tidak menjadi isu atau dipersoalkan oleh pihak awam. Cadangan agar mana-mana Perdana Menteri baharu perlu menghantar usul undi percaya di Dewan Rakyat dalam tempoh 30 hari selepas mengangkat sumpah jawatan perlu dilihat sebagai usaha memastikan kestabilan kerajaan yang akan dibentuk, seterusnya memberikan keyakinan mengenai keabsahan kuasa perdana Menteri yang dilantik.
Kesemua ini bermakna banyak lagi aspek-aspek perlu dilaksanakan bagi melaksanakan reformasi parlimen agar institusi semakin dihormati oleh semua pihak. Reformasi parlimen ini memerlukan tekad politik yang tinggi yang melangkaui kepentingan individu dan parti politik!
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)