Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Reformasi institusi yang digagalkan
  • KOLUMNIS

Reformasi institusi yang digagalkan

Utusan Sarawak 5 hours ago

DALAM sebuah demokrasi berparlimen, setiap undi bukan sekadar angka sebaliknya adalah cerminan keberanian moral, kejelasan prinsip dan kesediaan memikul amanah rakyat.

Maka apabila Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun gagal diluluskan kerana tidak mencapai majoriti dua pertiga.

Terdapat persoalan yang lebih besar daripada angka 146 menyokong, 44 berkecuali dan 32 tidak hadir ialah, iaitu di manakah letaknya integriti politik kita?

Asas tata kelola negara

Isu had tempoh jawatan bukan isu remeh. Ia menyentuh asas tata kelola negara sebagai mekanisme kuasa diagih, dihadkan dan dipertanggungjawabkan.

Dalam sejarah politik dunia, penumpuan kuasa terlalu lama pada satu individu atau kelompok sering membuka ruang kepada budaya naungan, nepotisme, kronisme, kolusi yang berisiko berlakunya penyalahgunaan kuasa dan normalisasi rasuah.

Justeru, cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun adalah sebahagian daripada ikhtiar reformasi institusi untuk memastikan kuasa tidak menjadi milik peribadi yang berpanjangan.

Sikap Ahli Parlimen

Namun, ketika tiba saat menentukan, sebahagian Ahli Parlimen memilih untuk berkecuali atau tidak hadir. Tindakan ini bukan sahaja mengecewakan, malah memaparkan kecenderungan mengelak tanggungjawab pada saat paling kritikal.

PARLIMEN Malaysia.

Dalam sistem demokrasi, berkecuali mungkin sah dari sudut prosedur, tetapi dari sudut moral politik, ia sering kali menjadi selimut selesa untuk mengelakkan risiko.

Jika benar seseorang Ahli Parlimen menentang RUU tersebut atas dasar prinsip misalnya kerana percaya rakyat berhak menentukan tempoh melalui pilihan raya tanpa had perlembagaan, maka jalan yang berintegriti ialah mengundi menolak secara terbuka.

Itulah tanda keberanian politik, tanda menghormati Dewan sebagai medan perbahasan dan pengundian, bukan sekadar pentas retorik.

Tidak hadir atau berkecuali ketika isu sepenting ini dibahaskan menimbulkan persepsi bahawa prinsip yang dilaungkan tidak cukup kuat untuk dipertahankan secara nyata.

Tindakan langkah selamat tersebut menunjukkan ketiadaan komitmen untuk membuat keputusan tegas yang penting kepada negara.

Ketidakhadiran

Amat memalukan kegagalan RUU ini bukan kerana ditolak secara majoriti, tetapi kerana tidak cukup sokongan untuk mencapai ambang dua pertiga.

Dalam konteks pindaan Perlembagaan, setiap undi membawa berat simbolik yang besar. Apabila 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 berkecuali, mesej yang sampai kepada rakyat ialah reformasi boleh ditangguhkan, komitmen boleh diringankan, dan akauntabiliti boleh dineutralkan.

Ada yang berhujah bahawa berkecuali adalah pilihan politik yang sah, terutama dalam situasi sensitif. Namun, berkecuali dalam isu struktur kuasa negara bukanlah sikap ‘neutral’ sebaliknya adalah sikap yang memberi kesan langsung kepada masa depan sistem politik.

Dalam keadaan tertentu, berkecuali lebih dekat kepada penghindaran daripada kebijaksanaan.

Pendirian

Politik bukan sekadar soal menang atau kalah dalam pengundian. Politik adalah soal pendirian. Seorang wakil rakyat dipilih bukan untuk bersembunyi di celah prosedur, tetapi untuk mempamerkan sikap jelas terhadap dasar yang memberi implikasi besar kepada negara.

Ponteng ketika pengundian penting menimbulkan persoalan serius tentang disiplin, komitmen dan keutamaan. Adakah urusan lain lebih mustahak daripada menentukan hala tuju institusi eksekutif tertinggi negara?

Lebih membimbangkan, kegagalan menunjukkan pendirian terbuka boleh dibaca sebagai strategi selamat dan tidak mahu dilihat menentang reformasi, tetapi juga tidak mahu menyokongnya secara tuntas.

Ini politik dua wajah yang merugikan demokrasi. Rakyat tidak memilih wakil untuk bermain di zon kelabu yang kabur, tetapi untuk berdiri di sisi terang atau sisi gelap hujah, dengan segala risiko dan tanggungjawabnya.

Kritikan masyarakat sivil

Kritikan oleh masyarakat sivil terhadap mereka yang berkecuali dan tidak hadir wajar dilihat sebagai peringatan keras bahawa mandat rakyat bukanlah tidak mempunyai nilai, atau tidak  boleh ditunaikan. Maksudnya bukanlah dijadikan sebagai  harapan palsu atau janji manis yang tidak ditepati.

Setiap keputusan, termasuk keputusan untuk tidak membuat keputusan, tetap membawa implikasi politik. Dalam era kesedaran politik yang semakin matang, pengundi tidak lagi menilai semata-mata berdasarkan parti, tetapi juga berdasarkan rekod kehadiran, keberanian bersuara dan konsistensi prinsip.

Sistem

Perlu ditegaskan bahawa had tempoh jawatan Perdana Menteri bukan soal individu semata-mata. Ia adalah soal sistem. Seseorang mungkin yakin pemimpin tertentu masih diperlukan lebih lama, tetapi undang-undang digubal untuk mengawal kecenderungan masa depan, bukan untuk melayani keselesaan masa kini.

Demokrasi yang sihat memerlukan mekanisme semak dan imbang yang jelas, termasuk had masa memegang kuasa.

Dalam konteks ini, tindakan tidak hadir atau berkecuali menimbulkan tanda tanya, adakah kepentingan peribadi, kesetiaan politik atau percaturan taktikal mengatasi komitmen terhadap pembaharuan institusi?

Jika benar ada yang mahu mengekalkan status quo, katakan secara terbuka. Hujahkan dengan matang, bukannya dilihat berfikir singkat. Perlu menyakinkan rakyat dengan rasional yang kukuh sebagai tanda budaya politik yang jujur.

Pengundi menilai

Perlu diingat bahawa akhirnya, PRU16 akan menjadi medan penghakiman sebenar. Pengundi berhak menilai bukan sahaja manifesto dan janji, tetapi juga rekod pengundian dan keberanian moral wakil rakyat mereka.

Dalam demokrasi, kealpaan dan penghindaran bukanlah tindakan tanpa akibat. Setiap ponteng, setiap berkecuali, setiap kegagalan menyatakan pendirian akan direkod dalam memori politik rakyat.

Sejarah politik mengajar kita bahawa reformasi sering gagal bukan kerana tiada sokongan, tetapi kerana terlalu ramai memilih untuk diam. Diam dalam dewan yang sepatutnya bergema dengan hujah dan pendirian adalah bentuk pengabaian tanggungjawab.

Jika Dewan Rakyat menjadi ruang apabila prinsip boleh dikompromi demi keselesaan, maka demokrasi kita sedang diuji.

Wakil rakyat harus sedar bahawa keberanian bukan hanya diuji ketika berpidato, tetapi ketika mengangkat tangan menyokong atau menolak.

Dalam isu sepenting had tempoh jawatan Perdana Menteri, rakyat menuntut lebih daripada sekadar kehadiran fizikal. Mereka menuntut pendirian.

Dan pendirian itu, sama ada menyokong atau menolak, mesti dizahirkan dengan jelas – bukan diselindungkan di balik berkecuali atau ketidakhadiran.

Rumusan

Demokrasi memerlukan lebih ramai budiman politik, bukan sekadar ahli politik. Budiman politik berani membuat keputusan, walaupun tidak popular.

Ahli politik yang takut membuat keputusan hanya akan menangguhkan masa depan.

Dalam kegagalan RUU ini, kita bukan sekadar kehilangan satu pindaan, kita mungkin sedang kehilangan peluang untuk mematangkan budaya politik yang lebih berprinsip dan bertanggungjawab.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Majlis Penasihat Perpaduan Negara  dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Kisah pengambilan Baram oleh Brooke

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.