
SIBU: Orang ramai, khususnya pencari kerja dan graduan baharu, digesa untuk merebut peluang keemasan menghadiri Karnival Kerjaya MYFuture Jobs: Dari Kampus ke Industri yang akan berlangsung pada 26 Julai ini di Kampus Institut Methodist Pilley (MPI), di sini.
Program anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama MPI dan Persatuan Alumni MPI itu bakal menghimpunkan 16 syarikat dari seluruh Sarawak yang menawarkan pelbagai jawatan dalam pelbagai bidang.
Menurut kenyataan penganjur, karnival tersebut memberi ruang kepada pencari kerja, termasuk graduan dan individu yang ingin beralih kerjaya, untuk berjumpa secara terus dengan majikan serta menjalani sesi temu duga di tapak program.
Antara jawatan yang ditawarkan termasuk pengawal ladang, pengatur cara analisis, pengurus operasi, mekanik, jurujual, penterjemah, pembantu pejabat, pegawai sumber manusia, pentadbiran, penolong audit dan pelbagai lagi.
Peserta disarankan untuk membawa resume terkini, salinan kad pengenalan dan sijil akademik, serta berpakaian kemas.
Karnival akan bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang, dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng dijangka merasmikan program tersebut pada 10.00 pagi.
Mereka yang berminat diminta mendaftar awal melalui pautan https://careerfair.myfuturejobs.gov.my/careerfair/socsocareerfair/daftarjobseeker.php
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada pegawai Perkeso berikut, Razz (019-6560427), Sheryl (019-6550159) atau Hafiz (019-2944710).
Oleh Tarani Lanting