
SIBU: Golongan muda digesa untuk merebut peluang menerusi inisiatif ekonomi digital dan transformasi digital yang giat dipacu oleh kerajaan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, mereka boleh menukar minat menjadi kerjaya, kreativiti menjadi peluang perniagaan dan menggunakan teknologi untuk berhubung dengan dunia.
“Sama ada mempromosikan produk tempatan melalui e-dagang, mengetengahkan pelancongan melalui media sosial ataupun menerapkan teknologi pintar dalam pertanian, semua ini adalah contoh nyata transformasi digital.
“Saya menggalakkan anda semua untuk menerima arus perubahan ini dan menggunakan sepenuhnya platform yang disediakan oleh JCI untuk belajar, mencuba, dan mencipta kejayaan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Angkat Sumpah Junior Chamber International (JCI) Mandrin Sibu Ke-29 dan JCI Sibu Jaya Ke-10, malam tadi.
Katanya, kepimpinan sebenar bukan hanya tentang berucap di pentas, ia adalah tentang memberi inspirasi dan membawa perubahan positif melalui tindakan yang nyata.
“Kini adalah masa untuk anak muda bangkit. Bukan menunggu peluang, tetapi menciptanya, bukan takut kepada perubahan, tetapi memimpinnya. Misi pembinaan negara Sarawak memerlukan semangat, kepintaran dan iltizam anda.
“Saya juga yakin bahawa di bawah kepimpinan ahli jawatankuasa yang baru dilantik, JCI Mandarin Sibu dan JCI Sibu Jaya akan terus menjadi platform penting bagi pemimpin muda, inkubator inovasi sosial dan pemacu pembangunan tempatan.
“Sebagai wakil rakyat N.51 Bukit Assek, saya akan terus bersama anda dalam perjalanan ini, berusaha mendapatkan lebih banyak sumber dan platform agar anak muda kita dapat menyerlah di peringkat tempatan, kebangsaan, mahupun antarabangsa,” kata beliau.
Pada majlis itu turut menyaksikan Alexander Ling mengangkat sumpah sebagai Presiden JCI Mandarin Sibu yang baharu bagi menggantikan Lucas Kong.
Manakala, Daphne Ling mengangkat sumpah sebagai Presiden JCI Sibu Jaya yang baharu menggantikan Christopher Ling.
Turut hadir, wakil JCI Malaysia, Naib Presiden Eksekutif Kebangsaan yang juga Pengerusi Kawasan Sarawak, Tan Chin Jie.
Oleh Akun Giman