KUCHING: Peluang mengisi jawatan dalam 30 industri bakal menjadi tarikan utama Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaTFair) tahun ini, dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan mengadakan temuduga terbuka bagi tujuan tersebut.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) , Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, daripada 30 industri tersebut, sebanyak 1,175 jawatan kosong akan menjadi rebutan pengunjung SCaTFair kali ini.
Katanya, pameran ini akan berlangsung di dua lokasi berbeza iaitu di Kuching pada 5 hingga 6 Oktober dan di Sibu, 2 dan 3 November.
“Selain itu, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bersama lebih 30 syarikat vendornya akan turut serta, menawarkan pelbagai peluang kerjaya.
“Setakat ini, 1,175 peluang kerjaya akan ditawarkan. Mungkin nanti jumlah ini akan bertambah kerana jumlah syarikat yang bakal menyertai SCaTFair ini belum dimuktamadkan.
“Sempena SCaT Fair tahun ini, MEITD dengan kerjasama CHEMSAIN HRD Sdn Bhd akan menganjurkan Ceramah Kerjaya yang bertujuan merapatkan jurang antara akademik dan industri.
“Para peserta akan mempelajari cara menggunakan teknik penjenamaan peribadi dan pemasaran untuk menonjolkan diri dalam pasaran kerja.
“Mahasiswa dan pencari kerja digalakkan memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan kemahiran insaniah mereka sebagai persediaan memasuki pasaran kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media SCaTFair di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Roland juga menyatakan bahawa Pameran SCaT Fair ini akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pelajar, belia, ibu bapa dan komuniti untuk mendapatkan maklumat komprehensif mengenai pendidikan, kerjaya, dan bantuan kewangan.
Katanay, fokus utama acara ini termasuk meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja dan menggalakkan minat terhadap subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah.
“Selain daripada peluang pekerjaan, pelbagai aktiviti menarik juga akan diadakan sepanjang pameran, termasuk STEM Playground, Cabaran Drone dan Robotic Explore (Drobotex), Panggung SCaT Kamboh, Skills Master dan Pertemuan Komuniti Cosplay.
“Terdapat juga acara cabutan bertuah, Planetarium Sultan Iskandar (PSI) Dome, dan Zon Keseronokan Kanak-kanak,” katanya.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, yang juga Pengerusi TEGAS, serta Setiausaha Tetap MEITD, Adana Jed.
Pameran ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS).
Ia akan menampilkan lebih 50 pempamer dari pelbagai sektor, termasuk syarikat, institusi pendidikan, penyedia bantuan kewangan, sekolah teknikal dan agensi kerajaan.
Acara yang bakal berlangsung selama dua hari di Kuching dan Sibu ini dijangka menarik lebih 12,000 pengunjung serta 50,000 penonton secara dalam talian.
Oleh Shahrul Qaizat