Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Realiti Tarif: Jangan cagar mata pencarian rakyat dalam sebarang rundingan perdagangan
  • BISNES

Realiti Tarif: Jangan cagar mata pencarian rakyat dalam sebarang rundingan perdagangan

Utusan Sarawak 2 days ago

SAN FRANCISCO:  Pagi itu cuaca amat dingin di sini, dan perut penulis mula berkeroncong ingin menjamah makanan.

Mentari muncul lebih awal dan langit mulai cerah, sebelum pukul 6.00 pagi, menandakan menjelmanya hari baharu dan penulis cuma menikmati kunyahan snek yang tersedia di bilik hotel.

Hari itu bukan seperti kelaziman apabila penulis terjaga dari tidur seawal pukul 3.00 pagi kerana gangguan ritma harian. Jika di Malaysia, waktu itu pukul 6.00 petang.

Hotel yang menjadi penginapan penulis terletak berhampiran dengan Moscone Centre dan sebuah universiti, lokasi itu biasanya sudah tentu penuh hiruk-pikuk.

Oleh kerana hari itu adalah hari hujung minggu, Ahad, suasananya lengang dan agak tenang.

Sidang Kemuncak Snowflake 2025, anjuran firma data berasaskan awan, yang menjadi tumpuan penulis bagi membuat liputan berita, hanya akan bermula pada Isnin (Selasa bagi Malaysia).

Ketika mencari restoran halal, penulis berjalan menyusuri 6th Street, tanpa menyedari kawasan itu sebenarnya dianggap tidak selamat untuk dilalui pada waktu sebegitu, lebih-lebih lagi bagi wanita yang bersendirian.

Dalam mengatur langkah di laluan itu, penulis benar-benar terkejut menyaksikan situasi bertentangan dengan imej Amerika yang penuh dengan kemewahan kapitalis.

Jalanan dipenuhi kalangan orang gelandangan, dan ramai daripada mereka tinggal dalam khemah sementara yang usang. Tidak kurang juga ada yang kelihatan khayal akibat ganja, berjalan tanpa arah tujuan, dan sebilangannya mula menyedari kehadiran penulis.

Perasaan penulis mulai gusar. Ketika serangan panik mula menguasai diri, rasa hati penulis hanya mahu keluar dari kawasan itu tanpa berlengah.

Setiba di bilik penginapan, penulis cuba mencari jawapan rasional di lembaran Google bagi setiap persoalan yang timbul daripada penyaksian jalanan di 6th Street — pengakhiran harapan dan kekecewaan serta  masalah gelandangan yang begitu parah di sebuah negara yang memegang kuasa ekonomi terbesar dunia.

Setiap hari, pemandangan di 6th Street menggambarkan cabaran bertali arus yang dihadapi bandar kosmopolitan itu dengan penyalahgunaan dadah dan masalah kesihatan mental — segala sisi gelapnya terpampang terang-terangan di jalanan.

Pihak berkuasa San Francisco dilaporkan sedang bertindak menangani masalah yang nampaknya sukar untuk diatasi. Bagi penulis, semua masalah itu terlalu besar untuk diselesaikan dengan mudah oleh mana-mana pentadbiran.

Imbauan kembali suasana yang amat dingin pagi Ahad itu bukan sekadar masih membuatkan penulis menggigil — bukan kerana kesejukan udara — malah juga kerana rasa sayu menyaksikan kesengsaraan di wajah-wajah kalangan gelandangan.

Sebagai rekod, terdapat 8,323 individu gelandangan secara keseluruhannya di San Francisco setakat 30 Januari 2024, dan sebilangan 200 individu dipercayai mendiami jalan itu.

Di 6th Street, pemandangan terarah kepada kalangan gelandangan duduk berbaris di kaki lima dalam cuaca bersuhu antara 13 hingga 15 darjah Celsius nampaknya sudah menjadi biasa.

Tidak jauh dari situ terletaknya pusat perniagaan yang pesat membangun dan Moscone Centre — lokasi bagi penganjuran Sidang Kemuncak Snowflake 2025 — acara yang menghimpunkan peserta dari serata dunia bagi membicarakan perkembangan terkini dalam kecerdasan buatan (AI).

Tampak paradoks apabila menyaksikan kota San Francisco yang menjadi punca hidupnya Lembah Silikon dan lokasi terbentuknya jajaran Bay Area yang begitu popular, menghadapi realiti kemelut kemanusiaan ini.

Di sebalik wajah kota yang maju dan moden, keterbiaran gelandangan, penyalahgunaan dadah yang berleluasa dan kalangan individu yang tidak berupaya melawan kekacauan jiwa akibat masalah kesihatan mental, menjadikan semua realiti ini sukar untuk diterima akal.

Ini adalah realiti pahit yang perlu ditelan oleh rakyat Amerika dan para pembuat keputusan manakala pihak yang berkuasa perlu menyemai dasar dan melaksanakan program untuk membantu semua lapisan masyarakat bagi mencegah krisis perumahan yang berkait rapat dengan pelbagai isu, termasuk peningkatan populasi, kesukaran ekonomi dan kekurangan sumber.

Ini seterusnya menimbulkan persoalan mengenai fungsi sebenar rundingan tarif antara Amerika Syarikat dengan kira-kira 168 negara. Penduduk dunia perlu menanyakan sama ada hasil rundingan perdagangan ini, dan mana-mana rundingan perdagangan, adakah telah mengambil kira realiti sebenar yang dihadapi negara masing-masing?.

Continue Reading

Previous: Bursa Malaysia dibuka tinggi
Next: Public mutual umum agihan lebih RM20 juta bagi tiga dana

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.