MADRID, Sepanyol: Real Madrid hari ini mengumumkan penandatanganan pemain sayap Ivory Coast berusia 19 tahun, Yan Diomande, dari Leipzig dengan nilai perpindahan yang dilaporkan media Sepanyol mencecah rekod kelab iaitu 140 juta euro (RM650 juta) termasuk bonus.
Dalam satu kenyataan, Real Madrid memaklumkan persetujuan telah dicapai dengan kelab Bundesliga itu bagi mendapatkan khidmat Diomande, yang akan bersama kelab berkenaan selama tujuh musim sehingga 30 Jun 2033.
Real Madrid, yang tidak mendedahkan nilai sebenar perpindahan, berjaya menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) dan Liverpool dalam usaha mendapatkan pemain yang turut beraksi pada Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan negaranya itu.
PSG dilaporkan menarik diri daripada persaingan selepas mengambil kira nilai perpindahan yang tinggi, manakala tawaran Liverpool pada Jun lalu turut ditolak.
Diomande menghabiskan satu musim dalam saingan Bundesliga bersama Leipzig selepas menyertai kelab itu daripada kelab Sepanyol, Leganes, pada 2025.
Beliau dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik Bundesliga selepas mencatat 12 gol dan menghasilkan lapan bantuan gol.
Diomande menjadi pemain keenam yang menyertai Real Madrid pada jendela perpindahan musim panas ini selepas Marc Cucurella, Bernardo Silva, Ibrahima Konate, Denzel Dumfries dan Carlos Espi.
Real Madrid yang melantik jurulatih berpengalaman dari Portugal, Jose Mourinho, untuk tempoh kedua menggantikan Alvaro Arbeloa, kini melakukan rombakan skuad selepas gagal memenangi trofi utama dalam dua musim berturut-turut.
Kelab gergasi Sepanyol itu turut dikaitkan dengan usaha mendapatkan pemain tengah Manchester City dan Sepanyol, Rodri.- AFP




