BERGAMO, Itali: Real Madrid menghidupkan semula peluang mereka mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara selepas mengharungi pertarungan sengit sebelum menang 3-2 di Atalanta awal pagi tadi.
Gol menerusi Kylian Mbappe, Vinicius Junior dan Jude Bellingham cukup buat Madrid untuk menang dalam suasana tegang di Bergamo sekali gus melonjak ke tangga ke-18, dengan sembilan mata daripada enam perlawanan.
Madrid berisiko untuk terkeluar daripada tempat ke playoff jika kalah perlawanan itu, namun berjaya menangani ujian getir berdepan pendahulu Serie A, Atalanta.
Pasukan kendalian Carlo Ancelotti merapatkan kedudukan tiga mata berbanding tangga kelapan yang memberikan kelayakan automatik ke pusingan 16 terakhir dengan berbaki dua perlawanan pada kempen peringkat liga.
Madrid mencetus kekalahan pertama Atalanta dalam pertandingan berwajah baharu tahun ini dan dua mata di belakang pasukan kendalian Gian Piero Gasperini yang bertindak cemerlang menentang juara Eropah 15 kali itu tetapi kini menghuni tangga kesembilan.
“Jelas sekali kami agak kecewa, tetapi kami banyak belajar daripada perlawanan ini,” kata Gasperini kepada Sky.
“Kami bermain sepenuh hati menentang juara hebat. Kami mungkin kalah dari segi keputusan, tetapi tidak dari segi persembahan.”
Atalanta meledak menerusi penalti Charles De Ketelaere pada masa kecederaan babak pertama yang memadamkan gol pembukaan Mbappe dan jaringan cantik Ademola Lookman pada minit ke-65 meletakkan tuan rumah kembali bersaing tidak lama selepas dua gol pantas Vinicius dan Bellingham.
Ia bagaimanapun bukannya semua berita bagus buat Madrid. Mbappe terpaksa meninggalkan padang kerana cedera sembilan minit sebelum rehat, selepas satu daripada persembahan terbaiknya sejak menyertai kelab gergasi Sepanyol itu pada musim panas lalu.
“Mbappe berasa agak kurang selesa di hamstring. Ia kelihatan tidak begitu serius tetapi kami akan lihatnya esok,” kata Ancelotti.
“Dia tidak boleh memecut, ia menyakitkan buatnya dan kami fikir lebih baik mengeluarkannya.” – AFP