KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka 14 kertas siasatan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, dengan tiga daripadanya telah selesai manakala tiga lagi berada pada peringkat akhir siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan pada awalnya membabitkan enam isu yang dikemukakan dalam laporan RCI sebelum lapan isu tambahan dikenal pasti hasil penelitian lanjut.
Katanya, perkembangan itu menjadikan keseluruhan 14 kertas siasatan dibuka oleh SPRM berkaitan laporan berkenaan.
“Sehingga hari ini, SPRM telah membuka sebanyak 14 kertas siasatan dan melaksanakan beberapa tindakan operasi seperti tangkapan, reman dan sitaan.
“Sebanyak 28 premis telah diperiksa dan digeledah, manakala 115 individu telah dipanggil untuk ditemu bual serta dirakam keterangan,” katanya pada sidang media di Kompleks Pejabat SPRM Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau berkata, seramai tujuh suspek telah ditahan dalam siasatan berkenaan, dengan lima daripadanya direman manakala dua lagi dilepaskan dengan jaminan atas faktor kesihatan.
Menurutnya, SPRM turut menjalankan jejak kewangan membabitkan dokumen serta penyata kewangan daripada institusi kewangan selain meneliti dokumen kontrak dan bayaran.
Abd Halim berkata, daripada enam isu asal yang diserahkan kepada SPRM untuk disiasat, tiga telah selesai sepenuhnya, termasuk keputusan berkaitan perakuan untuk pertuduhan dan tiada tindakan lanjut (NFA).
“Manakala tiga isu lagi masih di peringkat akhir penyiasatan dan akan dimaklumkan apabila kesemua isu tersebut telah diselesaikan secara lengkap,” katanya.
Beliau berkata, SPRM turut menjalankan siasatan terhadap aspek tatakelola bagi mengenal pasti kelemahan pengurusan yang mungkin menjadi antara punca isu berkenaan berlaku.
Katanya, SPRM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Tabung Haji sekiranya diperlukan.
Beliau turut meminta semua pihak memberikan ruang kepada SPRM menjalankan siasatan secara bebas, adil dan profesional berlandaskan undang-undang.
“Tiadalah pihak membuat sebarang spekulasi atau andaian yang boleh menjejaskan kelancaran proses siasatan yang sedang berjalan,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud




