KUALA LUMPUR: Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dijangka dapat ditandatangani oleh negara-negara yang menyertainya termasuk Malaysia pada November ini, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata kalangan Menteri Perdagangan dan Industri negara-negara peserta RCEP telah sepakat untuk memeterainya menerusi keputusan yang dicapai pada Mesyuarat Maya Peringkat Menteri Antara Sesi RCEP Ke-10 pada 23 Jun lepas.
Menurutnya, RCEP bakal menjadi suatu perjanjian perdagangan bebas serantau yang terbesar serta meliputi hampir separuh penduduk dunia selain menyumbang kepada satu pertiga jumlah keluaran dalam negara kasar global.
“Selain itu, Malaysia juga mengakui bahawa penyertaan India akan menyumbang kepada kemakmuran perdagangan serantau.
“Justeru itu, Malaysia berpendirian terbuka sekiranya India mengambil keputusan untuk kembali ke meja rundingan,” kata beliau dalam ucapan penggulungan perbahasan titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Rakyat, hari ini.
Untuk rekod, India telah bertindak menarik diri daripada perjanjian perdagangan itu atas alasan bimbangkan kesepakatan itu mungkin menjejaskan industri domestiknya.
Selain itu, mengulas Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Mohamed Azmin berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Jabatan Peguam Negara dan kementerian-kementerian berkaitan masih giat menjalankan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh, termasuk kerajaan-kerajaan negeri.
Menurutnya, ini menyusuli keputusan untuk meratifikasi perjanjian CPTPP yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 5 September 2018 tanpa menetapkan sebarang tempoh untuk pemuktamadan proses domestik bagi meratifikasi perjanjian berkenaan.
“Justeru, kerajaan perlu memastikan sebarang keputusan berkaitan CPTPP perlulah mengimbangi keperluan dan kepentingan negara, industri tempatan dengan pelabur-pelabur asing,” katanya.
Sehingga kini, CPTPP telah berkuat kuasa mulai 30 Disember 2018 di Australia, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand dan Singapura manakala di Vietnam pada 14 Januari 2019.
Selain itu, beliau berkata jumlah perdagangan Malaysia mencatat peningkatan sebanyak 4.6 peratus kepada RM1.835 trilion pada 2019 berbanding RM1.463 trilion pada 2015.
Lebihan dagangan pada 2019 mencatat nilai RM137.31 bilion iaitu 1.5 kali lebih tinggi berbanding 2015 dengan nilai sebanyak RM91.58 bilion.
Mohamed Azmin berkata, sehingga 31 Mei 2020, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah memberi khidmat fasilitasi kepada 86 syarikat asing dan tempatan beroperasi di China yang berminat untuk menempatkan semula aktiviti syarika terbabit di Malaysia.
“Daripada jumlah ini, MIDA telah berjaya menarik sejumlah 32 projek dengan pelaburan bernilai RM17.5 bilion yang mana sebanyak 28 projek (RM8.36 bilion) telah diluluskan manakala empat projek (RM9.14 bilion) sedang dalam proses penilaian,” katanya.- Bernama