Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Rayuan Najib untuk hidupkan semula saman terhadap Tommy Thomas ditolak
  • MAHKAMAH

Rayuan Najib untuk hidupkan semula saman terhadap Tommy Thomas ditolak

Utusan Sarawak 6 hours ago
MAHKAMAH Rayuan tolak rayuan Najib hidupkan semula saman terhadap Tommy Thomas. Foto fail BERNAMA

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini gagal dalam rayuannya untuk menghidupkan semula saman RM1.9 juta yang difailkan beliau terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Datuk Ravinthran N. Paramaguru, yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, berkata panel itu bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa memandangkan kes jenayah belum bermula ketika saman tersebut difailkan, tindakan bagi salah laku dalam jawatan, penyalahgunaan proses dan kecuaian adalah jelas pramatang.

“Kami juga mendapati tort penyalahgunaan proses tidak wujud dalam undang-undang kita,” kata Ravinthran yang bersidang bersama-sama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.

Mahkamah menolak rayuan Najib dengan kos RM12,000.

Najib merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 November 2022 yang membatalkan samannya terhadap Thomas.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah memfailkan saman tersebut pada 22 Oktober 2021 yang mendakwa Thomas menyalahgunakan kuasanya apabila mendakwa beliau berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ravinthran juga berkata Mahkamah Tinggi telah mendapati bahawa Thomas mempunyai kekebalan dan tindakan beliau tidak boleh diadili.

“Berhubung isu kekebalan dan kebolehadilan, kami tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi kerana Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan kekebalan kepada Peguam Negara berhubung saman sivil yang difailkan terhadapnya secara peribadi.

“Kes yang dirujuk oleh Mahkamah Tinggi tidak terpakai kerana terdapat kes jenayah yang menyaksikan budi bicara Peguam Negara telah dicabar,” katanya.

Menerusi saman itu, Najib mendakwa Thomas telah bertindak secara berniat jahat apabila memfailkan pertuduhan terhadap beliau berkaitan kes 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pertuduhan itu termasuk salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan beberapa pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Antara lain, Najib memohon deklarasi mahkamah bahawa Thomas telah melakukan tort salah laku dalam jawatan awam. 

Thomas berkhidmat sebagai Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020.

Najib juga menuntut ganti rugi khas RM1.9 juta yang merangkumi kos yang ditanggung bagi melantik pasukan audit untuk menyemak dokumen serta menyediakan pembelaan bagi prosiding jenayah.

Najib diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin manakala peguam Alan Adrian Gomez mewakili Thomas.

Ketika ditemui selepas prosiding itu, Firoz Hussein berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada Najib sama ada untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.- Bernama

Continue Reading

Previous: Zizie Izette kemuka representasi gugur tiga tuduhan rasuah RM2.8 juta
Next: Kes Nur Farah Kartini: Jabatan Peguam Negara tolak representasi Lans Koperal

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.