
SEOUL: Bekas anggota kumpulan K-pop NCT, Moon Tae-il atau Taeil, dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun enam bulan selepas rayuannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi Seoul, Korea Selatan.
Penolakan rayuan tersebut menjadikan hukuman terhadap Taeil muktamad susulan penglibatannya dalam kes serangan seksual berkumpulan terhadap seorang wanita warga asing pada Jun 2023.
Menurut keputusan mahkamah, Taeil turut diarahkan menjalani 40 jam program pemulihan pesalah seksual serta dilarang bekerja di mana-mana institusi yang melibatkan kanak-kanak, remaja dan orang kurang upaya (OKU) selama lima tahun.
Taeil sebelum ini merayu agar hukumannya diringankan atas alasan menyerah diri secara sukarela kepada pihak berkuasa.
Namun, mahkamah menolak permohonan itu selepas mendapati beliau hanya tampil selepas rumahnya digeledah ketika siasatan sedang dijalankan.
Rayuan tersebut turut dianggap tidak mempunyai asas kukuh kerana tiada bukti yang mencukupi untuk mempertimbangkan pengurangan hukuman.
Dalam kes berkenaan, Taeil bersama dua rakannya, dikenali sebagai Lee dan Hong, disabitkan bersalah kerana menyerang mangsa yang berada dalam keadaan mabuk dan tidak sedarkan diri.
Mahkamah menyifatkan jenayah itu sebagai serius dan telah mengarahkan ketiga-tiga tertuduh dikenakan hukuman penjara serta ditahan segera. – Agensi