KUCHING: Rainforest Youth Summit (RAYS) 2024 menyediakan platform untuk memperkasakan pemimpin muda dalam pemeliharaan ekosistem.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, acara tempatan yang bertemakan ‘Memperkasa Belia untuk Masa Depan Mampan’ itu juga bergema dengan misi Sarawak dalam melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang.
”Hari ini, dalam memperkasa belia untuk masa depan mampan, kita mengamanahkan belia untuk bersedia untuk meneruskan usaha ini kerana penglibatan dan advokasi belia adalah teras usaha kelestarian kami.
”Pendekatan inovatif belia terhadap advokasi akan memberi inspirasi kepada perubahan dasar dan anjakan minda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika majlis perasmian RAYS 2024 di Hikmah Exchange Event Centre di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya Sarawak terus komited dalam pembangunan mampan ketika Malaysia memikul jawatan Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 2025.
Jelasnya, dengan menyandang jawatan itu, beliau berharap Sarawak akan diberikan peluang untuk mempromosikan lebih banyak pertukaran budaya dan kerjasama dalam usaha pemuliharaan hutan hujan dan pembangunan mampan.
”Sebagai sebahagian daripada ASEAN, Sarawak sentiasa diketengahkan dan memainkan peranan penting dalam inisiatif alam sekitar serantau.
”Komitmen ASEAN terhadap perlindungan alam sekitar terbukti melalui inisiatif seperti Program Taman Warisan ASEAN yang meninjau kawasan perlindungan yang mempunyai kepentingan pemuliharaan tinggi, memelihara secara keseluruhannya spektrum persembahan semula ekosistem yang lengkap di rantau ASEAN.
”Taman Negara Gunung Mulu Sarawak sendiri adalah salah satu taman terawal yang ditetapkan oleh Taman Warisan ASEAN 40 tahun yang lalu pada 1984,” ujarnya.
Oleh Rynna Sha’erra