Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • RAYS 2026 medan belia dunia bentuk masa depan mampan
  • TEMPATAN

RAYS 2026 medan belia dunia bentuk masa depan mampan

Utusan Sarawak 3 hours ago
AMANAT… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika berucap pada Sidang Kemuncak Belia Hutan Hujan 2026, di Kuching hari ini. Foto: Norman B

KUCHING: Sidang Kemuncak Belia Hutan Hujan (RAYS) 2026 menjadi platform penting dalam memperkasa suara generasi muda sebagai pemimpin masa depan dalam usaha menangani isu kelestarian, perubahan iklim dan pemuliharaan alam sekitar di peringkat serantau serta global.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata masa depan planet ini tidak boleh dibentuk secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak merentasi budaya, negara dan bidang kepakaran.

“Seperti hutan hujan yang bergantung kepada hubungan antara akar, sungai, spesies dan musim untuk terus hidup, masa depan dunia juga memerlukan pelbagai suara dan perspektif untuk membina penyelesaian yang mampan.

“Belia hari ini bukan lagi menunggu kebenaran untuk membentuk masa depan. Mereka sudah memimpin, membina jaringan, menggerakkan komuniti dan mencabar institusi supaya berfikir dengan cara yang baharu,” katanya ketika merasmikan RAYS 2026, di sini, hari ini.

Menurut beliau, tema RAYS 2026 iaitu ‘Youth: Many Ways, One Planet’ mencerminkan hakikat bahawa tiada satu jalan tunggal ke arah kelestarian.

KENANGAN…Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama tetamu kehormat yang lain merakam gambar kenangan pada Sidang Kemuncak Belia Hutan Hujan 2026, di Kuching, hari ini. Foto: Norman B

Katanya, setiap komuniti melihat cabaran alam sekitar daripada sudut berbeza, sama ada melalui pengalaman masyarakat pesisir pantai, pengetahuan masyarakat pribumi, kajian saintifik, karya seni, dasar kerajaan mahupun gerakan aktivisme belia.

“Setiap perspektif mempunyai nilai tersendiri. Masa depan yang mampan memerlukan gabungan kebijaksanaan tradisional, sains moden, inovasi, dasar yang berkesan serta penglibatan komuniti.

Abdul Karim berkata Sarawak merupakan lokasi yang sesuai untuk penganjuran RAYS kerana negeri ini memiliki antara ekosistem hutan hujan dan tanah gambut paling penting di dunia, dengan kira-kira 62 peratus kawasannya masih dilitupi hutan.

Beliau berkata komitmen Sarawak terhadap kelestarian bukan sahaja tertumpu kepada usaha memelihara khazanah alam sedia ada, malah merangkumi pemulihan ekosistem, pembangunan tenaga boleh diperbaharui, inovasi saintifik dan penglibatan komuniti.

“Melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, program pemuliharaan biodiversiti, usaha pemeliharaan tanah gambut dan pelbagai strategi pemulihan ekosistem, Sarawak terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju kelestarian alam sekitar.

“Pendekatan Sarawak jelas menunjukkan bahawa pemuliharaan mesti bergerak seiring dengan inovasi, pembangunan bertanggungjawab, dasar yang inklusif dan penglibatan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan RAYS terletak pada kerjasama erat antara kerajaan, industri, institusi akademik, pertubuhan masyarakat sivil, rangkaian belia serta rakan antarabangsa.

Sepanjang tiga hari penganjuran, para delegasi akan menyertai pelbagai sesi dialog, bengkel, forum dan makmal pembelajaran yang memberi tumpuan kepada keadilan iklim, pemuliharaan biodiversiti, pengetahuan masyarakat pribumi, pelancongan lestari, teknologi, keusahawanan dan kepimpinan komuniti.

SEKITAR suasana pada Sidang Kemuncak Belia Hutan Hujan 2026, di Kuching, hari ini. Foto: Norman B

Salah satu pengisian utama tahun ini ialah Forum Planet Futures, yang memberi peluang kepada peserta memahami cabaran sebenar dalam membuat keputusan berkaitan perubahan iklim, tadbir urus dan pembangunan mampan.

Forum tersebut turut menyumbang kepada pembentukan Deklarasi Belia RAYS, yang menghimpunkan aspirasi, komitmen dan cadangan golongan muda sebagai panduan kepada pembuat dasar serta pihak berkepentingan.

Oleh Norman B

Continue Reading

Previous: KDN sahkan tiada perancangan autogate di ICQS Lubok Antu buat masa ini
Next: Akaun bank ditutup tanpa penjelasan, PPS mahu hak pengguna dihormati

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.