MUNGKIN generasi muda khususnya remaja tidak merasai ‘kejutan’ sambutan Hari Raya dulu-dulu dan mengangggap kejutan Aidilfitri seperti tahun lalu sebagai perkara luar biasa.
Pada zaman 1960-an, 1970-an, 1980-an dan awal 1990-an, pengumuman tarikh Aidilfitri penuh teka-teki dengan unsur kejutan sehinggalah kaedah melihat anak bulan Syawal diubah pada 1993 iaitu penentuan awal Ramadan dan Syawal menggunakan kaedah rukyah dan hisab. Pendeknya, awal Ramadan dan 1 Syawal sudah boleh dijangka.
Nescaya, ada yang suka atau tidak suka dengan kejutan. Bagi sesetengah suri rumah, 1 Syawal mengejut menyusahkan mereka membuat persiapan akhir seperti memask kuih-muih, rendang dan sebagainya kerana ada bahan yang tidak boleh dimasak terlalu awal.
“Dulu-dulu, saya suka kejutan 1 Syawal, sebab ada ‘ummph’. Itu yang istemewanya,” kata seorang rakan.
Katanya, sejak penggunaan kaedah rukyah dan hisab iaitu 1 Syawal sudah boleh dijangka, bagaikan tiada lagi ‘ummph’.
“Dulu-dulu, pengumuman tarikh hari raya, amat menyeronokkan. Bayangkan semua ahli keluarga dalam rumah ‘terpacak’ di hadapan televisyen menunggu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan tarikh Aidilfitri seperti lazimnya berlaku pada 1960-an, 1970-an dan 1980-an. Ketika itu, cuma ada RTM. Tiada TV3, tiada Astro.1
“Beliaulah (penyimpan mohor) paling glamour dan satu-satunya manusia yang amat dinantikan oleh semua rakyat Malaysia pada malam pengumuman raya. Sekarang keadaan sudah tidak sama, kerana tarikh 1 Syawal macam sudah boleh diagak atau dikira, dah tahu lebih awal,” katanya.
Apabila terpacak depan televisyen
Ya, sejak 1993, penentuan awal Ramadan dan Syawal menggunakan kaedah rukyah dan hisab iaitu penggunaan syarat nampak anak bulan bagi membuat justifikasi kenampakan anak bulan.
Ada tiga amalan berbeza dalam menentukan awal bulan hijriah. Amalan itu ialah rukyah, iaitu melihat anak bulan semata-mata, hisab falak semata-mata serta rukyah dan hisab menggunakan kriteria imkanur rukyah, iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan atau hilal.
Seorang lagi rakan menceritakan keadaan ketika dia menempoh zaman remaja dahulu, kini sudah berusia lebih setengah abad.
“Saya teringat zaman kanak-kanak hingga remaja, terpacak di depan televisyen bersama ahli keluarga lain, menjelang hujung Ramadan menunggu pengumuman rasmi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, lazimnya sebelum atau selepas sahaja solat Maghrib.
“Semua kerja dihentikan, memasak, mengemas, pasang langsir atau tengah makan sekali pun….kerana terpaku depan televisyen untuk seketika. Andai diumumkan lusa hari raya, tiada apa yang berlaku kerana keesokan harinya puasa hari terakhir disambung dan ada banyak masa lagi untuk membeli-belah atau mencari barang keperluan raya yang belum sempat dibeli.
“Tetapi, yang ‘ummph’ sekali ialah apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan ‘esok raya’, sekali gus menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut. Kanak-kanak akan terus mandi, kerana tak sabar nak pakai baju baharu, lepas itu berjalan-jalan atau bermain mercun dan bunga api di halaman rumah.
“Golongan wanita pula akan terus sibuk di dapur, membakar kuih-muih, ketupat, memasak daging dan ayam, selain mula mempersiapkan langsir baharu. Satu kampung akan meriah dengan dentuman mercun, percikan bunga api dan orang ramai lalu-lalang, kerana masing-masing ada urusan sama ada untuk ke kedai, jumpa kawan untuk bersembang atau sengaja bergembira di jalanan.
Sambut Aidilfitri dalam kapal terbang
“Takbir raya di masjid memeriahkan lagi suasana. Program televisyen pula tiba-tiba bertukar dengan pelbagai bentuk hiburan, diselang seli takbir raya,” katanya.
Apakah anda pernah mengharungi senario seperti ini? Jika anda berusia 40 tahun ke atas, pastinya anda melalui zaman ‘kejutan 1 Syawal’ ini.
Disebabkan ‘kejutan 1 Syawal’ inilah penulis sendiri pernah menyambut Hari Raya dalam kapal terbang, gara-gara yakin ‘esok belum Aidilfitri’ lagi, tetapi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kata ‘Hari Raya disambut esok’, sekali gus melangkah ‘longlai’ ke balai berlepas di lapangan terbang keesokan paginya ketika tadbir raya sudah bergema.
Satu kapal terbang penumpang dari Kuala Lumpur ke Sarawak, duduk diam antara ‘gembira dan duka’. Baju Melayu dan songket baharu untuk solat sunat Aidilfitri, terus ‘mendayu’ dalam beg pakaian.
Tetapi saya bukan seperti lagu Musafir di Aidilfitri nyanyian S Jibeng, yang antara lain berbunyi: “Oh Tuhan Yang Maha Kaya; Hamba menangis di pagi raya; Aidilfitri hari bahgia; Tapi hamba dilanda derita”.
Bukan derita, cuma rasa syahdu mendengar takbir raya di awan biru, sambil dihidangkan lemang dan kuih-muih oleh pramugari Penerbangan Malaysia (MAS). Ketika itu, belum ada AirAsia dan hidangan dalam pesawat MAS dulu-dulu memang tidak mengecewakan.
Ini gara-gara kerana terlalu yakin hari raya ‘jatuh lusa’, bukan ‘esok’. Saya yakin, ramai yang lain turut ‘terperangkap’ dengan pengumuman ‘raya esok’, termasuk penumpang MAS pagi itu kerana kapal terbang penuh, sebahagian besar orang Islam.
“Sekarang situasi itu sudah tiada,” kata seorang lagi teman. Katanya, semua sudah boleh dirancang sebaik mengetahui tarikh puasa bermula, diikuti waktu membeli-belah, waktu balik kampung dan sebagainya, kerana tarikh hari raya bagaikan sudah diketahui lebih awal, tanpa disangkal lagi.
“Tetapi saya tetap rindu masa dulu-dulu, saya suka kejutan, bukan seperti yang kita rancang. Keadaan begini mengajar kita untuk menukar pelan serta merta atau saat akhir apabila berlaku kejutan,” kata seorang lagi rakan sekerja.
Selamat Hari Raya kepada semua pembaca, maaf zahir dan batin.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.