KUCHING: Pembekal bahan api mampan terkemuka dunia, RAW Energy, secara rasmi melantik SEDC Energy Sdn. Bhd. (SEDCE) sebagai rakan eksklusif untuk mempromosikan dan mengedar pelet Hybrid Tropical Grass (HTG) di Sarawak.
Kerjasama strategik ini menandakan langkah penting dalam memperkukuh pembangunan tenaga boleh diperbaharui di negeri tersebut melalui penggunaan teknologi biojisim yang lebih efisien dan lestari.
Pelet HTG, yang dihasilkan daripada gabungan hibrid rumput Napier dan Pearl Millet, akan dibekalkan kepada loji janakuasa serta pengguna industri yang memerlukan penyelesaian tenaga bersih berskala besar.
Inisiatif ini bukan sahaja menyokong sektor tenaga, malah membuka peluang ekonomi kepada komuniti luar bandar menerusi penyediaan bahan mentah HTG melalui penanaman tanaman baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RAW Energy, Ramsay Wilson, berkata pelantikan SEDCE sebagai pengedar eksklusif bukan sekadar kerjasama komersial, tetapi juga satu pencapaian penting dalam usaha mempercepatkan peralihan kepada tenaga mampan di Sarawak.
“Dengan penggunaan teknologi biojisim terkini, SEDCE menetapkan penanda aras baharu yang boleh menjadi inspirasi kepada komuniti global dalam mencapai keseimbangan antara pertumbuhan industri dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ramsay, pelet HTG yang dibangunkan oleh RAW Energy berpotensi merevolusikan sektor biojisim di peringkat antarabangsa.
“Dengan kitaran karbon yang boleh diukur dalam tempoh beberapa hari dan kandungan tenaga haba yang melebihi pelet kayu, kami membuktikan bahawa sumber tenaga mampan bukan sahaja mampu menyaingi, bahkan boleh menggantikan bahan api tradisional seperti arang batu dan kayu dari segi impak ekologi, kecekapan dan kebolehskalaan,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa Sarawak kini berada di landasan tepat untuk membangunkan ekonomi pusingan dengan menukar hasil pertanian kepada komoditi tenaga bernilai tinggi.
Tanaman HTG telah diusahakan secara besar-besaran di kawasan tanah marginal di Bintulu sejak 2014.
Ia tidak bersaing dengan tanaman makanan dan sejajar dengan prinsip kelestarian.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEDCE, Robert Hardin, menyambut baik kerjasama ini sebagai antara langkah penting dalam mencapai sasaran pelepasan karbon sifar Sarawak menjelang 2050.
“Rumput hibrid ini tidak mengancam sumber makanan kita.
“Ia selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan PBB (UNSDG) 15 yang menyeru kepada penggunaan lestari ekosistem daratan serta usaha membendung kemerosotan tanah,” katanya.
Robert turut memaklumkan bahawa SEDCE merancang untuk memperkenalkan penanaman rumput ini secara berperingkat di kawasan luar bandar dengan kerjasama RAW Energy.
Perjanjian yang baru dimeterai ini memperkukuh lagi komitmen Sarawak dalam membangunkan sumber tenaga alternatif dan menyerlahkan peranannya sebagai peneraju dalam agenda penyahkarbonan di peringkat serantau dan kebangsaan.
Kerjasama ini dijangka menjadi pemangkin kepada pelaburan baharu dalam teknologi hijau, sekali gus menyumbang kepada ketahanan ekonomi dan alam sekitar, menjadikan Sarawak contoh terbaik bagaimana sumber tempatan boleh dimanfaatkan demi kebaikan global.