
EL ALAMEIN, Mesir: Ratusan penyokong yang penuh kegembiraan menyambut kepulangan skuad bola sepak kebangsaan Mesir, selepas negara itu mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan di Piala Dunia, sebelum langkah mereka terhenti di pusingan 16 terbaik selepas tewas dramatik kepada Argentina.
Lautan penyokong berpakaian merah, putih dan hitam memenuhi kawasan luar lapangan terbang El-Alamein ketika skuad tersebut menaiki bas terbuka untuk perarakan mengelilingi bandar pesisir itu.
“Kami sangat gembira dengan pasukan ini,” kata penyokong, Mohamed Gehad, kepada AFP di lapangan terbang selepas datang khas untuk menyambut kepulangan pemain.
“Semangat mereka tinggi, dan semangat kami juga tinggi untuk menyambut mereka.
“Penyokong mengibarkan bendera Mesir dan Palestin sebagai tanda solidariti kepada penduduk Gaza, selain membawa poster jurulatih Hossam Hassan yang menyelubungi dirinya dengan kedua-dua bendera itu sepanjang kejohanan.
Mesir mencatat kemenangan sulung dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia sebelum mara ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama selepas menewaskan Australia menerusi penentuan sepakan penalti.
Mereka hampir melakar antara kejutan terbesar kejohanan apabila mendahului Argentina 2-0 hanya beberapa minit sebelum tamat perlawanan, namun juara bertahan itu bangkit meraih kemenangan dramatik 3-2.
Walaupun begitu, para penyokong tetap bersemangat, menari mengikut paluan gendang, menyanyikan lagu patriotik serta mengenakan jersi tertera nama kapten pasukan dan bekas penyerang Liverpool, Mohamed Salah. Ada juga yang membawa sepanduk bertulis: “Kamu membuat kami bangga.”
“Mereka berjaya mara ke tahap yang belum pernah dicapai sebelum ini dan kami amat bangga dengan mereka,” kata seorang lagi penyokong, Eyad Ahmed.
‘Permulaan baharu’
Ketika bas pasukan meninggalkan lapangan terbang, bendera terus berkibar di atas lautan penyokong yang berlari mengiringi kenderaan itu sehingga hilang daripada pandangan.
“Saya akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan ini menjadi permulaan baharu buat bola sepak Mesir di pentas antarabangsa,” tulis Salah di media sosial ketika sambutan berlangsung.
Para pemain dijadual menghadap Presiden Abdel Fattah al-Sisi esok.
Presiden itu turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan menerusi media sosial atas “prestasi terpuji” mereka.
Persatuan Bola Sepak Mesir turut mengemukakan bantahan terhadap pasukan pengadil yang mengendalikan perlawanan pagi Rabu lalu (waktu Malaysia) selepas Hassan mendakwa pasukannya menjadi mangsa ketidakadilan, walaupun Ketua Pengadil FIFA, Pierluigi Collina, menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai “tidak berasas”.
Hassan turut menerima pujian di Gaza selepas mengibarkan bendera Palestin di atas padang susulan kemenangan Mesir ke atas Australia serta mendedikasikan kemenangan itu kepada rakyat Palestin.
Pada sidang media sebelum perlawanan Isnin lalu, Hassan berkata penderitaan rakyat Palestin adalah satu “memalukan dunia” sambil menggesa komuniti bola sepak melakukan lebih banyak usaha membantu mereka.
Sepanjang kejohanan itu, ribuan rakyat Palestin berkumpul di kafe sementara yang dibina di dalam khemah atau menggunakan kepingan logam daripada bangunan yang rosak untuk menyaksikan perlawanan Mesir. – AFP