
PUTRAJAYA: Ratusan pengamal perubatan dari seluruh negara berhimpun secara aman di Laman Perdana, Putrajaya hari ini bagi menyuarakan bantahan terhadap penggunaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723) ke atas sektor penjagaan kesihatan swasta.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dato’ Dr Kalwinder Singh Khaira menegaskan bahawa tindakan kerajaan menggunakan akta tersebut terhadap klinik swasta adalah tidak wajar dan berpotensi menjejaskan sistem penjagaan kesihatan primer negara.
“Orang awam perlu ambil berat apabila Akta 723 digunakan dalam sektor perubatan kerana ia boleh menjejaskan penyampaian penjagaan kesihatan primer serta membawa implikasi jangka panjang kepada sistem sedia ada.
“Klinik swasta telah pun tertakluk kepada pemantauan ketat di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), dengan semua rekod dan operasi berada di bawah pengawasan berkala.
“Akta 723 tidak sesuai untuk diaplikasikan kerana sektor perubatan bukanlah sektor runcit seperti jualan borong atau peruncitan biasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan undang-undang berganda ke atas klinik swasta hanya akan menambahkan beban kepada pengamal perubatan yang kini berdepan dengan kos operasi yang tinggi serta kekurangan sumber manusia.
“Apa yang kami minta hanyalah agar Akta 586 dijadikan satu-satunya asas penguatkuasaan. Tidak wajar untuk membebankan klinik dengan peraturan bertindih yang tidak relevan dengan struktur sektor ini.
“Kami tidak menolak dasar kerajaan, namun pelaksanaannya perlu selaras dengan keperluan dan realiti sektor penjagaan kesihatan.
“Kami juga sedia bekerjasama dengan pihak kementerian untuk membentuk satu sistem yang lebih telus, adil dan mampan, tanpa menjejaskan kelangsungan perkhidmatan kepada rakyat,” ujarnya lagi.
Perhimpunan aman itu dianjurkan oleh MMA bersama 15 pertubuhan perubatan lain, bertujuan menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri bagi mendesak agar sebarang penguatkuasaan berkaitan paparan harga ubat di klinik dilaksanakan di bawah Akta 586, bukan Akta 723.
MMA turut memaklumkan bahawa lebih 60 peratus rakyat Malaysia bergantung kepada rawatan di klinik swasta, dengan sekitar 12,000 pengamal am (GP) berkhidmat di seluruh negara.
Perhimpunan berlangsung secara tertib tanpa sebarang insiden, memperlihatkan solidariti komuniti perubatan dalam memperjuangkan sistem kesihatan yang lebih adil dan berlandaskan undang-undang yang bersesuaian.