SWANSEA, United Kingdom: Ratusan peminat menghadiri upacara pengebumian penyanyi dari Wales, Bonnie Tyler, manakala peminat turut menyanyikan lagu popularnya It’s a Heartache ketika keranda putih yang dihiasi bunga dibawa masuk ke gereja.
Penyanyi yang terkenal dengan suara garau itu, yang mencipta beberapa lagu popular termasuk Total Eclipse of the Heart, meninggal dunia di Portugal bulan lalu pada usia 75 tahun.
Lebih 1,000 peminat berkumpul di luar gereja menjelang upacara pengebumian di selatan Wales itu, yang turut disiarkan secara langsung.
Tepukan bergema ketika kenderaan yang membawa kerandanya tiba di Swansea Minster.

Keranda berkenaan dihiasi bunga ros dan teratai putih serta ukiran tangan kecil memegang mikrofon dan tanda kunci trebel, manakala gereja dipenuhi keluarga dan sahabat.
Lagu It’s a Heartache dan satu lagi lagu popularnya, If I Sing You A Love Song, dimainkan ketika pengusung membawa keranda masuk ke gereja.
“Beliau ialah ikon Wales,” kata pesara berusia 75 tahun, Bette Richards, kepada AFP. “Beliau seorang yang baik. Beliau tidak pernah berubah,” katanya.
Upacara pengebumian itu turut menampilkan persembahan koir suara lelaki yang menyanyikan lagu Bridge Over Troubled Water oleh Simon & Garfunkel.
Seorang lagi penduduk Swansea, John Edwards, 70, memberi penghormatan kepada bintang berkenaan yang menurutnya juga merupakan “orang biasa” dan “salah seorang daripada kami”.
“Saya berasa bangga… Semua orang menyayanginya. Ini satu kehilangan besar,” katanya.

Kehidupan yang ‘dilalui dengan baik’
Tyler, yang nama sebenarnya Gaynor Hopkins, meninggal dunia di sebuah hospital di Faro, selatan Portugal, pada 8 Julai.
Dalam ucapan penghormatan, pengurus jelajahnya selama bertahun-tahun, Matt Davis, mengenang bintang itu sebagai penyanyi yang mampu “menguasai mana-mana pentas”, daripada kelab kecil hingga stadium besar, selain menjalani kehidupan yang “besar dan dilalui dengan baik”.
“Beliau sanggup membuat persembahan di Antartika jika ia boleh dilakukan… beliau suka berada di atas pentas,” katanya. “Beliau membuat persembahan di puncak gunung dan di pantai,” selain di Vatican dan Kremlin, tambahnya.
Roger Bell, pencari bakat yang menemui Tyler dan kemudian menjadi sahabatnya, berkata meskipun terkenal di seluruh dunia, Tyler tidak pernah melupakan asal-usulnya.
“Beliau disayangi jutaan orang di seluruh dunia… tetapi di Swansea, beliau disayangi Robert (suaminya) dan keluarga sebagai Gaynor dan Auntie Gaynor.
“Beliau mempunyai kehangatan dan keikhlasan yang terserlah, dan tidak pernah menolak untuk bergambar atau memberikan autograf kepada sesiapa yang memintanya,” katanya kepada para hadirin.
“Saya fikir semua yang hadir hari ini mempunyai kisah tersendiri tentang pertemuan dengan Gaynor atau Bonnie Tyler dan akan menyimpannya sebagai kenangan,” tambahnya.
Penyanyi nombor satu carta Amerika Syarikat
Kematian Tyler berlaku selepas beliau diletakkan dalam keadaan koma teraruh bagi membantu proses pemulihan selepas menjalani pembedahan kecemasan pada Mei.
Penyanyi yang pernah dicalonkan untuk Anugerah Grammy itu dilahirkan dan dibesarkan di sebuah perkampungan perlombongan arang batu tradisional di barat laut Swansea.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau membahagikan masanya antara Wales dan Portugal, tempat beliau memiliki rumah percutian.
Beliau mula terkenal pada 1970-an menerusi lagu seperti Lost in France dan It’s a Heartache.
Total Eclipse of the Heart kemudiannya menduduki tempat pertama carta muzik di Britain dan Amerika Syarikat.
Menjelang penghujung upacara pengebumian, gereja dipenuhi alunan versi perlahan dan sayu Total Eclipse yang dinyanyikan oleh koir suara lelaki.
Tyler turut mencipta kejayaan menerusi lagu Holding Out for a Hero pada 1984, yang dimuatkan dalam runut bunyi filem Footloose yang mencatat kejayaan besar di pawagam Amerika Syarikat.
Ketika jatuh sakit, beliau dijadualkan memulakan jelajah Eropah di Malta bagi meraikan ulang tahun ke-50 penerbitan Lost in France, lagu yang melonjakkan namanya pada 1976. – AFP





