PADA 8 September minggu lalu, kita mendapat perkhabaran mengenai kemangkatan Ratu Elizabeth II. Pemergian Ratu ini mendapat liputan meluas dalam media massa dan rakyat United Kingdom menzahirkan rasa sedih atas hal ini.
Bagi memberi penghormatan terakhir kepada Baginda Ratu ini, United Kingdom berkabung selama 10 hari. Anak beliau iaitu Putera Charles mengganti tempat sebagai pemerintah tertinggi di United Kingdom. Beliau memakai gelaran Raja Charles III.
Sejarah pemerintahan Ratu Elizabeth II sebagai Ratu England bermula apabila ayahnya iaitu Raja George VI meninggal dunia pada 1953. Pemerintahan Ratu Elizabeth II ini merupakan antara pemerintah yang panjang dalam sejarah di United Kingdom iaitu 70 tahun.
Sebahagian era pemerintahan beliau ini jugalah, Sarawak adalah sebahagian daripada empayar British. Oleh kerana taraf Sarawak sebagai tanah jajahan, Ratu Elizabeth II menjadi ketua bagi Sarawak sehingga pembentukan Malaysia.
Sebagai ketua bagi Sarawak, Baginda Ratu berperanan dalam memperakukan pelantikan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Sarawak. Jawatan gabenor Sarawak juga perlu mendapat perakuan daripada Baginda Ratu seperti pelantikan Alexander Waddell.
Pada era pemerintahan beliau ini gerakan anti-penyerahan beransur-ansur pudar. Sarawak ketika itu mula mengalami pembaharuan dalam aspek pentadbiran dan pengenalan sistem demokrasi.
Pertabalan
Ketika pertabalan beliau sebagai Ratu England ini, beberapa pemimpin dan pegawai Kerajaan Sarawak dijemput untuk menghadiri pertabalan Baginda Ratu ini.
Dalam kalangan pemimpin tempatan Sarawak yang dijemput hadir dalam upacara ini ialah Tun Datuk Abang Openg Abang Sapiee, Tun Temenggong Jugah Barieng dan Chew Geok Lim. Bersama-sama mereka adalah Ketua Setiausaha Kerajaan iaitu R. G. Aikman.
Selain menghadiri majlis pertabalan ini, mereka juga diberi peluang melawat beberapa tempat menarik di London serta lokasi sekitarnya. Sekembalinya daripada menghadiri majlis pertabalan itu, wakil-wakil Sarawak amat kagum dengan pembangunan di England.
Pada peringkat awal ini pengetahuan Ratu Elizabeth II mengenai Sarawak tidaklah begitu luas dan amat terhad. Beliau masih lagi beranggapan Sarawak belum mencapai tahap moden seperti negara di Eropah. Hal ini diceritakan oleh wakil pengangkap Sarawak iaitu Lim Thian Seng.
Beliau mengimbau pengalamannya bertemu Ratu Elizabeth II di Birmingham pada 1957. Ini kerana Ratu Elizabeth II dikatakan terkejut apabila Lim Thian Seng menyatakan beliau berasal dari Sarawak. Pada pendapat Lim Thian Seng, Ratu Elizabeth II terkejut kerana tidak menyangka bahawa penduduk Sarawak semoden beliau.
Sepanjang Sarawak berstatus tanah jajahan, Ratu Elizabeth II tidak pernah melakukan lawatan ke Sarawak. Sebaliknya suami beliau iaitu Putera Philip pernah melakukan lawatan rasmi ke Sarawak. Putera Philip datang ke Sarawak pada 1959 dengan mengadakan lawatan singkat ke Kuching, Sibu dan Miri.
Dalam lawatan itu beliau berkesempatan memberi ucapan dalam Council Negri. Dalam ucapan ini beliau menyampaikan salam daripada Ratu Elizabeth II. Beliau menambah bahawa Ratu Elizabeth II mempunyai hasrat untuk melihat kesejahteraan rakyat Sarawak.
Penubuhan Malaysia
Berkenaan masa depan Sarawak, Ratu Elizabeth II mengalu-alukan kemerdekaan negeri ini. Dalam ucapan beliau di Parlimen, London, beliau mengalukan penyertaan Sarawak dalam penubuhan Malaysia.
Dalam hal ini juga beliau mengalu-alukan dapatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai sokongan penduduk Sarawak terhadap penubuhan Malaysia.
Selepas pembentukan Malaysia, perubahan telah berlaku di Sarawak.
Yang di-Pertuan Agong Malaysia menjadi lambang perpaduan baharu bagi penduduk Sarawak. Yang di-Pertuan Agong juga sering melakukan lawatan ke Sarawak.
Lawatan pertama
Setelah hampir sembilan tahun Malaysia dibentuk, barulah Ratu Elizabeth II meluang masanya melakukan lawatan rasmi ke Sarawak, bersama suami Putera Philip dan anak perempuannya iaitu Puteri Anne.
Lawatan keluarga Diraja ini sebenarnya bermula pada 22 September 1972 apabila singgah dahulu ke Kuala Lumpur. Rangka lawatan rombongan Diraja ini merangkumi Sarawak, Sabah dan Labuan.
Di Semenanjung Malaysia pula mereka melakukan lawatan ke Melaka dan Selangor serta Pulau Pinang. Mereka juga meluangkan masa untuk melawat Brunei. Sementara itu keluarga Diraja ini mula datang ke Sarawak pada awal Mac 1972.
Ketibaan rombongan ini disambut dengan permaidani merah. Ketika itu juga hujan renyai-renyai sedang turun tetapi ia tidak menganggu perancangan lawatan keluarga Diraja ini. Menariknya, lawatan ini ialah keluarga Diraja datang ke Sarawak menggunakan Kapal Diraja Britannia. Kapal ini berlabuh di Sejingkat.
Wakik Kerajaan Sarawak iaitu Ketua Setiausaha kerajaan negeri Dato Gerunsin Lambet menjemput Ratu Elizebeth II dan keluarganya untuk turun dari kapal ini. Keluarga Diraja ini dibawa menggunakan kereta untuk berjumpa dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Datu Tuanku Bujang Tuanku Othman dan isterinya Toh Puan Rahimah.
Sejurus Ratu Elizabeth II keluar dari kereta, beliau dihadiahkan sejambak bunga oleh seorang kanak-kanak perempuan bernama Fatimah. Kanak-kanak perempuan yang berusia lapan tahun itu adalah anak kepada Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Tun Abdul Rahman Ya’akub.
Lawatan pada 1972 ini adalah lawatan pertama dan terakhir bagi Ratu Elizabeth II ke Sarawak. Namun demikian beliau pernah melawat semula Malaysia pada 1989 ketika Persidangan Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Kuala Lumpur. Pada 1998 pula beliau melawat Malaysia sempena perasmian Sukan Komanwel di Kuala Lumpur.
Penerusan
Selepas itu Sarawak telah dilawati oleh anak beliau iaitu Puteri Anne pada 2016. Lawatan ini adalah lawatan kedua dilakukannya selepas 1972. Setelah itu kerabat Diraja England yang melawat Sarawak adalah Putera Charles dan isterinya. Kedua-dua pasangan ini melakukan lawatan rasmi pada 2017. Kedua-dua anak Ratu Elizabeth II ini meneruskan legasi perhubungan antara United Kingdom dan Sarawak menerusi lawatan ke negeri ini.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.