
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita Thailand Ratchanok Intanon mengakui kejayaannya mengekalkan kecergasan pada tahap terbaik tidak hanya bergantung kepada latihan intensif semata-mata, sebaliknya memerlukan pengorbanan besar termasuk ‘melupakan’ minuman kegemarannya, teh susu Thai.
Pemain berusia 30 tahun itu berkata beliau kini perlu mengurangkan pengambilan minuman manis itu sebagai sebahagian daripada usaha mengekalkan kecergasan dan kekal kompetitif di pentas antarabangsa.
“Kebiasaannya saya minum dengan gula biasa, tapi sekarang saya minta kurang manis. Saya tak minum setiap hari, tapi kalau minum pun mungkin setengah cawan sahaja.
“Saya juga alami kecederaan kira-kira dua atau tiga bulan lepas dan terpaksa membuat kemunculan semula. Kadang-kadang kita mahu menang dan berjaya melakar kemenangan, tetapi keadaan badan masih belum pulih sepenuhnya. Namun saya percaya, jika kita berfikiran positif, tubuh badan akan ikut,” katanya kepada pemberita di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Juara perseorangan wanita Kejohanan Badminton Masters Malaysia bagi edisi 2018 dan 2019 itu menewaskan wakil Kanada Michelle Li dengan keputusan 24-26, 24-22, 21-12 pada aksi suku akhir yang sengit dalam tempoh 77 minit, dan bakal berdepan sama ada pilihan utama dari China Wang Zhi Yi atau Nguyen Thuy Linh dari Vietnam pada peringkat separuh akhir.
“Dia Michelle bermain dengan baik dan mentalnya kuat pada awal permainan. Saya cuba untuk menjarakkan mata, tapi dia lebih tenang dan saya pula rasa sedikit tertekan. Saya beritahu diri sendiri jangan teruskan perasaan itu. Jika kalah hari ini pun, saya tetap mahu beri yang terbaik,” katanya.
Tidak mahu terlalu memikirkan keputusan atau rekod pertemuan lampau, Ratchanok berkata keutamaan beliau adalah memberi fokus sepenuhnya kepada permainan sendiri dan memastikan persembahan terbaik di gelanggang, tanpa mengira siapa lawannya.
“Persiapan saya bermula hari ini adalah makan dan tidur secukupnya. Itu sangat penting. Jika bertemu pemain China, saya tahu dia kuat dan suka bermain dalam rali panjang, jadi saya perlu benar-benar cergas,” katanya ketika ditanya mengenai persiapan menjelang aksi perlawanan separuh akhir nanti.– Bernama