Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Ratapan Syahdu
  • TEMPATAN

Ratapan Syahdu

Utusan Sarawak 12 hours ago

“MUKA biasa, suara sumbang, tapi mahu jadi pusat tumpuan ramai? Manusia tak sedar diri!” sindir monyet tua sambil melibas ekornya dengan geram. Di tangannya, sesikat pisang menjadi santapan sepanjang diskusi. Di sekeliling, nyamuk dan lalat menghurung, sementara koloni semut berkawad seperti jemaah yang jarang bersua. Kehadiran mereka bukan sekadar bersosialisasi. Ada perkara mustahak yang sedang dipertikaikan.

 “Sedangkan manusialah makhluk sebaik-baik ciptaan Tuhan…” ujar sang monyet muda sambil menghela nafas panjang, seakan-akan kecewa melihat kedangkalan yang berulang tetapi kejadian yang terjadi berbeza.

Seisi alam seakan-akan mengalami dejavu. Seusai meletakkan bunga di atas batas itu, bunga yang dipetik dengan penuh ketelitian, bukan sekadar hiasan kosong tetapi lambang penghormatan yang terakhir.

Monyet muda telah melompat lincah mencari pohon terdekat. Dedaun yang merimbun menyambut kepulangannya, seolah-olah berbisik dalam bahasa rimba yang hanya mereka sahaja fahami.

Di atas dahan tertinggi, rakan-rakannya sudah lama menanti, bergayut-gayut dengan sabar. Kepulangannya disambut meriah. Di lehernya dikalungkan sejambak bunga yang harum semerbak. Bukan untuk dirinya. Untuk adiwira yang telah lama bertakhta di hati. Kemenangan besar buat mereka.

 “Benar sekali, saya setuju!” Kambing akhirnya bersuara, memecahkan keheningan yang kian menebal. Dengan penuh kebanggaan, dia meramas-ramas janggutnya yang lebat. Simbol keperwiraan dan kejantanannya yang tiada tandingan. Kali ini, tiada penyangkalan, tiada bantahan.

Semua sudah lali dengan keperibadian kambing yang mesra dipanggil sebagai Jantan itu. Sisa rerumput yang diragutnya masih bertaut di antara gigi yang sentiasa berkilauan, namun dia tidak tergesa-gesa menelannya.

Perlahan-lahan, dia melabuhkan bekas berisi rumput kering ke atas reranting pohon. Sebagai bekalan yang akan menemani hari panjangnya. Matahari yang semakin condong membias cahaya keemasan, seakan memberkati keputusannya hari ini.

 “Saya pun setuju!” seru pelanduk dengan penuh kesungguhan, matanya bercahaya tanda keyakinan yang tidak berbelah bahagi.

`Sejak tadi, dia sibuk menggesel-geselkan punggungnya yang gatal pada sebatang kayu gergasi yang telah tumbang merentangi tepian sungai. Mungkin ada parasit nakal yang berkeliaran, bersembunyi di celahan bulu-bulunya yang empuk, mengusik lena dengan gigitan-gigitan halus yang mengigaukan deria.

Kayu perkasa itu dahulunya berdiri megah, namun takdir menumbangkannya. Panah petir tempoh hari telah meragut keangkuhannya. Mujurlah tiada nyawa yang menjadi korban dalam kejadian itu. Hanya kanopi hutan kini berlubang, kehilangan satu pelindung besar yang dahulunya menjadi rumah buat beberapa keluarga penghuni rimba.

“Begitu juga dengan saya!” sahut ular sambil melingkarkan tubuhnya dengan mesra, membelit rakan karibnya, si tikus.

Walau lidahnya bercabang dua, kejujurannya tetap utuh dalam bicara. Mereka berdua bergurau senda, bersilih ganti menguji batas keberanian masing-masing. Meskipun di lensa mata rakan-rakan lain, sepertinya satu permainan yang berbahaya. Ada yang tersentak.

Ada yang berbisik penuh curiga. Menganggap hubungan itu hanyalah menunggu saat pengkhianatan. Namun, mereka yang tidak mengenali jiwa kedua sahabat ini tidak akan pernah mengerti.

Persahabatan yang terjalin sekian lama bukanlah sesuatu yang mudah digugat. Meski berbeza naluri dan fitrah.

“Saya juga!” sahut gajah dengan penuh semangat, enggan ketinggalan dalam merancakkan perbincangan yang semakin menghangatkan suasana. Dengan sengaja, dia menggoncangkan permukaan sungai yang tenang menggunakan belalainya yang perkasa.

Mencipta riak-riak gelombang kecil yang berlari ke tepian. Matanya bersinar keterujaan. Setelah sekian lama, akhirnya dia kembali menyertai musyawarah yang sudah lama dirinduinya. Manakan tidak, sebelum ini dia terlantar sakit.

Berbulan-bulan dia diasingkan, dikuarantin jauh dari hiruk-pikuk rimba yang selama ini menjadi dunianya. Kesepian memeluknya erat, memaksanya menerima hakikat bahawa rehat dan rawatan adalah keutamaan buat beberapa purnama.

Setelah kembali pulih kini, dia kembali menyambung langkah-langkah yang tertangguh, menebus setiap detik yang terlepas. Belalainya melengkung anggun, menyedut takungan air sehingga penuh kapasitinya.

Dengan satu hayunan penuh makna, dia merenjiskan titisan-titisan segar ke arah barisan bunga-bunga yang sedang mekar bersinar, seolah-olah menabur rahmat kepada kehidupan yang sentiasa berubah tetapi tetap indah.

“Kami setuju!” Burung-burung yang bertenggek di dahan-dahan pokok bersahutan, suara mereka bergema merentasi rimba yang luas.

Sebagai ketua bagi semua jenis burung, Burung Merak mengibarkan sayapnya yang mempesonakan itu. Semua mata terarah ke arahnya. Bulu-bulu indahnya berkilauan di bawah pancaran mentari di ufuk pasti. Tiada yang palsu.

Tiada yang perlu ditambah atau diubah. Segala kecantikannya yang jelas terpancar merupakan anugerah semula jadi. Terima kasih Maha Pencipta! Di sebalik setiap helaian bulu yang berdansa mengikut tiupan angin.

Tersembunyi sebuah jiwa yang baru sahaja terbebas daripada cengkaman keganasan rumah tangga. Kepak yang terbuka itu bukan sekadar menunjukkan keindahan fizikalnya sahaja tetapi juga simbolik bagi kebebasan yang telah lama didamba dan dinanti-nantikan.

“Kita semua setuju! Muktamad!” suara Harimau Belang mengakhiri perbincangan dengan tegas. Wajahnya kini bengis, parut cakaran beruang masih jelas kelihatan—kesan serangan semasa dia cuba berteman dengan arnab yang baru putus cinta. Kesunyian yang menemaninya sejak ditinggalkan Harimau Kumbang membuatkan dia mencari teman yang memahami.

Namun, niat baiknya disalah erti. Dunia melihatnya dengan prasangka, mengajarnya agar lebih berhati-hati dan menjaga jarak peribadi. Soal hati, tidak pernah mudah untuk dijelaskan dengan logik.

Sebulan sebelum itu, monyet muda berkerut dahi melihat tetamunya yang tergesa-gesa memasuki perkarangan gua. Tiada tanda pemangsa, hanya bunyi burung walet tekun membina sarang mereka.

Di dalam gua, sarang-sarang walet tersusun mengikut gred. Premium bagi kualiti yang sempurna, Histo bagi sederhana dan Trakul untuk kegunaan biasa. Setiap sarang menyimpan kisahnya, seperti penghuni rimba yang berjuang mempertahankan tempat mereka dalam dunia penuh aturan dan hierarki.

“Selamat datang…sila…sila…” Monyet muda itu menjemput dengan tangan terbuka, matanya tajam memerhati dua tetamu asing yang kelihatan ragu-ragu. Kedua-duanya perlahan-lahan mengatur pelapik sebelum melabuhkan punggung mereka di atas lantai gua yang sejuk dan berdebu.

 “Selamat petang…terima kasih…” Salah seorang daripada mereka akhirnya bersuara, nadanya teragak-agak, seolah-olah masih mencari kekuatan untuk meluahkan niat sebenar. “Saya… saya… manusia dari alam sana…” Dia menelan liur sebelum menyambung. Muncung mulut merujuk ke arah tempat yang sangat jauh dari gua itu.“ Saya dengar di gua ini tersimpan sebuah antidot…penawar bagi kesakitan yang saya alami. Boleh tak kalau saya nak tahu… apakah yang perlu saya lakukan untuk mendapatkan antidot ajaib tersebut?”

Monyet muda itu mengangkat sebelah kening, tertarik dengan permintaan luar biasa itu. Matanya beralih kepada seorang lagi manusia di sebelah tetamu pertamanya yang sekadar mengangguk kecil.           

“Nama saya XYZ…” kata lelaki pertama. “Dan ini…” dia menoleh ke arah rakannya. “ABC…sahabat baik saya…” balas rakannya ringkas, suaranya penuh misteri.

“Satu sahaja untuk semua…” Mata ketua monyet mengerling dua figura di hadapannya.

XYZ dan ABC mendekati monyet muda, satu-satunya makhluk yang dipercayai memiliki pengaruh luar biasa di rimba. Duduk bertapa di atas batu besar, matanya redup tetapi penuh kebijaksanaan.

Dulu, dialah perantara antara manusia dan penghuni rimba, membantu mereka yang layak. Gua Roxzho yang tersembunyi itu bukan untuk sembarangan. Rahsianya lebih bernilai daripada sekadar penawar, dan hanya yang terpilih dapat memasuki alam suci itu, di mana bahasa rimba berbicara bersama jiwa mereka.

“Kamu berdua datang dengan permintaan yang agak besar…” katanya, suara serak. XYZ mengangguk, tidak sabar. Di dalam hatinya tersimpan agenda yang lebih dalam melebihi batas meminta pertolongan.        

“Tuan, saya merayu. Saya perlukan suara saya kembali. Saya sanggup lakukan apa saja!”

Monyet muda yang berada di pinggir gua menelan air liur. Hampir tersedak dengan air liurnya sendiri. Matanya membulat hingga tersembul, hampir tidak percaya dengan apa yang baru saja didengarnya. Segera menarik nafas panjang sebelum melemparkan pandangan tajam ke arah XYZ.

“Permintaanmu bukan sekadar permintaan. Kamu juga sebenar-benarnya meminta takdir diubah dengan serta-merta. Kamu meminta dunia tunduk kepada godaan semumu. Sudah fikir masak-masakkah?”

XYZ terkedu. Tetap keras hatinya. Dia pun segera menjawab, “Saya sanggup turutkan apa saja…”

“Kalau begitu… bersiap-siagalah…” Monyet muda itu senyum lebar. Hampir koyak mulutnya. Sudah lama tidak tersenyum lebar begitu.

Tibalah sudah acara yang dinanti-nantikan oleh umat manusia di alam sana. Selautan manusia membanjiri perkarangan auditorium mengalir bagaikan arus sungai yang tidak terbendung lagi kederasannya.

Lampu-lampu pentas berkelip-kelip meminta perhatian jiwa-jiwa yang kelaparan hiburan, mencipta bayangan gemerlapan pada wajah-wajah yang penuh harapan. Malam ini bukan sekadar malam hiburan tetapi pentas dan gelanggang takdir. Impian buat barisan empunya bakat bakal dijulang atau dikuburkan.

Setiap jiwa yang hadir begitu dahagakan persembahan luar biasa. Sudah semestinya mereka mahukan getaran seni suara yang mampu membolak-balikkan emosi. Sorakan dan teriakan saling menyatu membentuk simfoni keterujaan.

Jika diukur dari segi pengalaman, dia bukanlah yang paling mahir. Latihan kendiri? Berkala. Teknik vokal? Masih banyak yang perlu diperbaiki. Namun, satu perkara yang menjadi kelebihannya dia seorang opportunist sejati.

Pada usianya yang menginjak awal 30an, pertandingan ini bukan sekadar pentas tetapi tiket emas menuju ke dunia seni suara. Saingannya tidak begitu sengit, apatah lagi selepas tarikh penyertaan dilanjutkan beberapa kali akibat kurangnya peserta yang berminat. Ini peluang yang tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Baginya, kemenangan bukan semata-mata milik mereka yang berbakat tetapi juga milik mereka yang berani keluar dari zon selesa. Mereka yang sanggup mengambil risiko dan menonjolkan diri dalam kalangan manusia yang dinamik ciptaannya.

Pegangan itu menjadi kompas signifikannya dan kerana itulah dia berdiri di atas pentas itu pada malam yang diterangi pantulan cahaya dari bulan purnama. Dengan berbekalkan satu objektif utama yang terukir kukuh di mindanya,dia tidak menghiraukan apa jua yang diperkatakan oleh manusia lain yang tidak memahami isi hatinya.

Sebelum naik ke pentas, dia mengeluarkan antidot dari begnya, pemberian monyet muda di Gua Roxzho. Dengan rahsia, dia menyuntik titisan antidot itu ke tekaknya. Sakit seketika, namun keajaiban pun terjadi.

Suaranya berubah drastik menjadi anggun dan magis, seolah-olah seorang profesional menakluk pentas. Hadirin terpana, juri terpegun, dan impiannya kini menjadi realiti yang mengukir sejarah dunia seni suara.   

“Sanggup menyerahkan nyawa hanya untuk sebuah kemenangan?” suara Monyet mendatar tetapi ada getar yang tersembunyi. Belum pernah ada manusia yang datang menerpa ke arahnya dengan berbuat taruhan yang tak masuk akal itu. Dia pun mengamati benar-benar wajah XYZ yang penuh dengan beribu harapan. Kata-katanya tadi bergema dalam gua seperti suatu sumpahan nenek moyang yang tidak boleh ditarik kembali.

XYZ mengangguk dan matanya mulai berkaca. “Saya sudah lama bermimpi untuk mengecapi kejayaan seperti itu. Saya tidak mahu sekadar menjadi bayang-bayang dalam dunia hiburan. Saya mahu dihargai, dikenang, dipuja, dijulang dan dianakemaskan kerana bakat saya. Tanpa suara, saya bukan siapa-siapa!”

Monyet  itu menghela nafas panjang, melihat ABC di sisi XYZ yang kelihatan serba salah. “Satu sahaja untuk semua…” Dia mengulang kata-katanya tadi. Kali ini dengan nada lebih perlahan. “Dan kau memilih untuk menjadikannya milikmu seorang sahaja, bukan?”

XYZ meneguk liur dan mengangguk. “Saya… saya tidak kisah apa yang terjadi selepas ini… asalkan saya mendapat apa sahaja yang saya mahukan…”

Monyet tiba-tiba mengukir senyuman lebar yang sukar ditafsirkan. “Baiklah, saya boleh tolong… tetapi ingat! Setiap permintaan ada risikonya…”

Kata-kata itu bergaul sebati antara satu sama lain dan tertanam dalam jiwa mereka bagai mantera kuno yang takkan pernah pudar. Kurang lebih setengah jam di dalam gua sakral itu, mereka pun berpulang membawa antidot yang dianggap sebagai kunci keajaiban. Kegembiraan mereka meletup-letup, seolah-olah kanak-kanak yang mendapati mainan baru selepas sekian lama menanti.

Hati mereka berdegup kencang. Dipenuhi dengan harapan dan semangat yang mendidih bagai air panas yang direbus bersama daun teh harum. Menantikan detik takdir bakal diubah dan dipicu oleh hawa nafsu seorang manusia yang sentiasa diuji oleh liku-liku kehidupan.

Dia menjuarai pertandingan itu dan menjadi bintang bersinar dalam industri seni suara. Permintaan terhadapnya mencurah-curah, rezekinya melimpah ruah. Namun, di sebalik kegemilangan itu, jadual padat dan tekanan melampau meragut ketenangannya.

Dia merindui kehidupan sebelum terjun ke dunia ini. Pujian kini bertukar menjadi kecaman yang menguji ketabahannya. Bukankah ini yang diinginkannya selama ini? Tiada sesiapa memaksanya memilih impian yang akhirnya membelenggu dirinya sendiri.

Suaranya mulai berubah, bukan lagi meniru nada aslinya yang lembut, melainkan bertransformasi bak raksasa Gorgon pada hari-hari pertama minggu itu.

Pada minggu seterusnya, getarannya semakin menyerupai raungan seekor tapir yang menular, menggetarkan pelosok udara dengan kekuatan yang mengerikan. Dia terpaksa menangguhkan persembahannya.

Lebih mengejutkan lagi, tubuhnya sendiri pula berubah tiga ratus enam puluh darjah! Dia menjelma menjadi sosok lain. Kini, dia menyerupai seekor khinzir.

Bahkan nama khinzir itu sendiri sering kali dilafaznya ketika dia mencarut apabila berhadapan dengan perilaku manusia yang melebihi sifat kebinatangannya dan mencabar peribadinya.

Sejak kejadian itu, dia hanya mampu keluar dari rumah pada waktu malam, terpaksa menyelinap ke rimba untuk mencari makanan. Dengan ketakutan kian menyelebungi diri.

Khuatir akan pandangan serong jiran tetangga dan peminat yang mungkin menyaksikan kemenjadian aneh itu, dia sedaya upaya menyembunyi identiti terbarunya itu daripada pengetahuan semua orang termasuklah sahabatnya, ABC.

Dalam kekeliruan yang merayap di dalam benaknya, kapasiti akalnya telah merosot seolah-olah terkurung dalam kedangkalan seekor khinzir. Dia hanya mampu menyondol reban-reban tanda tantrum dan mengunyah makanan kotor dengan taring panjangnya. Tampak gelojoh tanpa arah.

Sepanjang perjalanan menuju Gua Roxzho, dia berlari kencang, menembus rimba lebat menuju sekumpulan khinzir yang bakal dikomersialkan kelak. Namun, usaha untuk merangkul persahabatan dengan mereka yang sejiwa menemui jalan kegagalan.

Mereka enggan bergaul dengan makhluk jadian yang tidak sekufu kata salah seekor khinzir. Tujuannya? Menghiburkan hati sekumpulan khinzir dengan nyanyian lagu ciptaannya sendiri.

Malangnya, nasib buruk sahaja menimpanya tanpa putus asa. Dia pun menjadi mangsa sondol sekumpulan khinzir itu. Rintangan demi rintangan menghadangnya, bagai onak duri yang harus dihimpit dalam perjalanan tiga hari yang penuh penderitaan.

Tubuhnya kian kurus, hanya tersisa tulang-temulang yang samar di bawah sinar matahari, sementara makanannya hanyalah buah-buahan jatuh menimpa bumi, bangkai haiwan buruan pemangsa lain dan air sungai yang tercemar dek fiil golongan kapitalis.

Setiap langkahnya diwarnai dengan ketakutan yang mencekam. Seakan-akan dunia telah menolak dirinya ke gaung kekecewaan.

Dalam perjalanan yang cukup panjang itu, kadang-kadang ingatannya berkelip, sejenak kembali menjadi manusia. Sekejap kembali terjerumus menjadi seekor khinzir liar.

Kira-kira sepuluh minit begitu, ancaman badai yang diamuk kemarahan telah mengubah segala-galanya. Semua itu terjadi dalam sekelip mata sahaja. Dalam kekusutan berat badannya yang menyerupai papan lapis itu, dia terhuyung-hayang, terhempas ke sana ke mari tanpa arah.

Pada satu titik, di bawah naungan sebuah pohon yang rapuh, ekor badai yang ligat telah menghentamnya dengan kekuatan yang sungguh dahsyat. Apakan dayanya? Dia hanyalah seekor khinzir liar yang menghampiri garisan penamat hidupnya.

Akhirnya, pepohon tersebut menjadi saksi dia tersembam ke tanah, lalu berubah menjadi sekujur tubuh yang hancur lebur tanpa jasad yang sempurna. Maka, terciptalah satu sejarah yang mencetuskan kekacauan luar biasa sehingga mengakibatkan campur tangan pelbagai spesis fauna di sebuah rimba yang aktif dengan musyawarah pada setiap bulan itu.

Atmosfera rimba pada saat hiba itu terus-menerus mengalunkan lagu nyanyian melankoliknya. Antidot menjadi satu-satunya solusi bagi segala permasalahan duniawi yang pernah menyelubunginya masa lalu telah lesap bersama badai.

“Malapetaka… antidot…tak guna!”

Oleh Marilyn Albert Matu

Continue Reading

Previous: Kepala warga emas hilang dijumpai dibaham buaya
Next: Alumaster syarikat pertama di Sarawak peroleh pensijilan berganda SIRIM, CIDB

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.