
SHAH ALAM, 15 Jun -- Empat dari tujuh kakitangan bank dibawa ke Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi berjumlah RM18 juta antara 2018 hingga 2020.? Seorang kakitangan berusia 35 tahun direman selama tujuh hari, manakala enam lagi berusia 36 hingga 45 tahun disambung reman selama empat hari bermula hari ini. Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Parvin Hameedah Natchiar selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

SHAH ALAM: Seorang lagi kakitangan sebuah bank tempatan direman tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi berjumlah RM18 juta antara 2018 hingga 2020.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Parvin Hameedah Natchiar terhadap lelaki berusia 35 tahun itu, selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret, di sini.
Lelaki tersebut ditahan di pejabat SPRM Selangor pada 4.05 petang Isnin lepas, selepas diminta hadir untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
Mahkamah turut membenarkan permohonan lanjutan reman selama empat hari bermula semalam, terhadap enam lagi kakitangan bank yang telah direman pada Rabu lepas.
Terdahulu kesemua lelaki itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam pada 9.40 pagi.
Pada 8 Jun lalu, SPRM menahan enam individu yang bertugas di beberapa cawangan bank tersebut di sekitar Lembah Klang.
Menurut sumber SPRM, mereka dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan antara 15 hingga 35 peratus daripada 110 pinjaman pembiayaan peribadi bernilai lebih kurang RM18 juta. – Bernama